Kami berempat bertolak dari Gombak dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke Gombak.
Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang.
Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit.
Ads
Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan softfrog mini pada hujung joran.
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi.
Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Ads
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau.
Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuknya berikutan kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Ads
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak.
Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya.
Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang. Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz curut.
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pancingan dasar secara berhanyut adalah teknik pancingan paling efektif di perairan Zeezone kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok (pancingan dasar secara berhanyut) lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di perairan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Dalam trip ke sekian kalinya, cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali Pintu Air Pulau Pintu Gedung. Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih mudah diperoleh namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Kami bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.
Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan. Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing. Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai. Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja. Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Larian ikan bermasalah – sang cobia, itulah gelaran yang diberi kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika. Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi.
Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira menggasak atau digasak. Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.
Jika sebelum ini kaki pancing tempatan bimbang dengan ancaman ikan pacu, ikan keli Afrika, patin chaophraya, peacock bass dan keli ekor merah, kini dua lagi spesies karnivor dari benua Afrika dikenal pasti mula memasuki perairan negara ini.
Mutakhir ini, kalangan pemancing tempatan mula mendaratkan dua spesies ikan, pertama Cichlid yang dikenali sebagai earth eater atau pemakan bumi (geophagus
steindachneri) yang memakan udang, ikan kecil, serangga dan larvanya yang mampu hidup sehingga lima tahun.
Seekor lagi dikenali sebagai black ghost knifefish (apteronotus albifrons), berasal dari Amerika Selatan.
Hidupan air yang dikenali sebagai ‘hantu hitam’ oleh pemancing adalah spesies ikan karnivor yang mampu menghasilkan renjatan elektrik lemah untuk mencari makanan.
Ikan pemakan bumi ditangkap di Empangan Timah Tasoh di Perlis, Selangor dan Johor, manakala ikan hantu hitam memakan kail pemancing di beberapa sungai di Kedah, Perak dan Selangor.
Kehadiran spesies ini mengulangi kebimbangan penyelidik perikanan dan pemancing tempatan apabila kehadiran ikan pemangsa benua Afrika ini boleh memusnahkan ikan tempatan yang menghuni sungai, empangan dan tasik di negara kita.
Penyelidik dan Pakar Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Amiruddin Ahmad berkata, penggemar ikan hiasan yang tidak bertanggungjawab melepaskan spesies itu sebenarnya memberi ancaman kepada ikan tempatan.
“Tindakan melepaskan ikan pemangsa dari benua Afrika itu sangat tidak bertanggungjawab dan langsung tidak memikirkan survival ikan tempatan.
“Ketika masih kecil, ia menjadi ikan peliharaan, tetapi apabila semakin besar dan sukar dipelihara ia cenderung melepaskannya ke sungai. Ini punca masalah,” katanya.
Menurutnya, sebaik ikan ini dilepaskan ke sungai sukar untuk dikeluarkan semula.
“Masalah lebih meruncing jika ikan yang dilepaskan dalam jumlah besar kerana ia boleh menjadi pasangan dan bertelur kerana habitat di sini tidak mirip ekosistem sungai di Amazon,” katanya.
Amirrudin berkata, walaupun banyak amaran mengenai potensi bencana ekologi akibat kemasukan hidupan akuatik ini yang mengancam populasi ikan air tawar tempatan dikeluarkan, tetapi ia sukar dibendung.
“Spesies seperti peacock bass, keli ekor merah, keli Afrika dan patin chaophraya, mungkin dibebaskan di sungai sebagai ikan yang memberi kepuasan kepada pemancing kerana saiz spesies ini yang membesar.
“Tetapi mereka gagal melihat ikan ini turut mempunyai selera makan besar. Akibatnya, ikan tempatan, termasuk toman (giant snakehead) hilang dari habitat semulajadinya.
“Spesies ikan kita tidak dapat bersaing dengan raksaksa Amazon,” katanya.
Beliau berkata, masalah itu memberi kesan serius kepada nelayan sungai tradisional pada masa depan.
Menurutnya, ia bukan hanya menyebabkan kepupusan ikan tempatan tetapi ikan ini juga belum mendapat pasaran sebagai ikan yang boleh dimakan di Malaysia.
“Saya menggesa pemancing yang menangkap spesies amazon ini untuk tidak kembali melepaskannya ke sungai.
“Ini demi survival spesies tempatan dan saya mohon jabatan kerajaan berkaitan memantau perkara ini demi masa depan warisan dan sumber asli,” katanya.
Bagi Spesis MJ atau siakap merah, ia adalah spesis yang suka membawa dan melilitkan tali pancing kita pada kayu-kayu dan ranting-ranting yang berada disekitarnya setelah ia menyambar umpan kita.
Ia juga pemangsa yang ganas dan rakus, mempunyai gigi yang tajam adalah kelebihan spesis ini untuk memotong tali pancing (leader) kita.
Oleh itu kita haruslah tarik secepat yang mungkin bagi mengelakkan ianya kembali ke dalam reba dan memotong tali pancing.
Siakap putih (barramunddi) pula sikapnya yang selalu terbang di permukaan air untuk menanggalkan mata pancing anda.
Ia tidak punya gigi tetapi spesies ini mempunyai permukaan bibir yang kasar. Lambat tarik pun boleh putus jua.
Bagi siakap putih ini, jangan sesekali anda angkat hujung rod ke atas kerana ianya akan memberi peluang untuk ikan naik dan terbang di permukaan air.
Semasa karauan dibuat, tali pancing anda haruslah sentiasa tegang dan selam hujung rod anda ke dalam air bagi mengelakkan ianya naik di permukaan air.
Oleh itu, saya sarankan kepada caster-caster yang ingin memujuk spesies ini gunalah peralatan pancing yang sesuai sebelum anda berputih mata.
Para caster juga perlu memilih tarikh air yang sesuai untuk memburu pemangsa-pemangsa di lubuk sungai air masin ini.
Tekong dilubuk ini juga banyak memberi peranan dengan meronda mencari lubuk berpenghuni dan sentiasa memberi tunjuk ajar.
Beberapa kali saya turun memburu di lubuk ini ia tidak pernah menghampakan saya. Dari dulu sampai sekarang saya masih menggunkan teknik yang sama.
Antara spesis yang ada dilubuk ini kerapu, siakap putih dan siakap merah. Mana-mana caster yang ingin memburu di lubuk ini bolehlah berhubung dengan tekong-tekong handalan Kuala Selinsing di FB seperti Amir Hamzah, Herry Ramly, atau Azeem Asyraf.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...