Lembik Diasak GT Boreng

Share

 

Dua perkara utama yang menjadi nadi penting sebelum menyertai trip sport fishing ke boreng atau pelantar minyak. Pertama; mampu bersengkang mata berjaga sepanjang malam dan keduanya kekal bertenaga.

 

Sama ada sport fishing (jigging dan popping) atau pancingan konvensional (bottom fishing) di kawasan pelantar minyak, waktu utama aktiviti memancing adalah pada sebelah malam. Waktu siang adalah waktu untuk bot berpindah ke pelantar minyak atau lubuk berikutnya. Sekaligus ia menjadi waktu terbaik untuk berehat dan tidur bagi mengembalikan tenaga.

 

Bersama lapan pemancing, saya menyertai trip ke pelantar minyak di perairan Terengganu dengan matlamat memburu spesies game fish. Berbanding kebanyakan trip ke pelantar minyak yang mencari spesies bersisik bernilai tinggi di pasaran seperti merah, kerapu atau siakap merah dengan kaedah pancingan dasar.

 

Kami pula memburu spesies pelagik yang hampir tiada nilai di pasaran namun tak ternilai dari sudut pancingan rekreasi melalui teknik jigging dan popping. Namun untuk ke lubuk atau pelantar minyak yang didiami spesies game fish ini kami harus meredah lautan sekurang-kurangnya 15 jam dari jeti di Kuala Besut.

 

Senja pada hari kedua barulah kami tiba di pelantar Guntong A. Ia bukanlah pelantar pertama yang kami singgah sebaliknya merupakan pelantar pertama pemburuan gerepoh. Pemburuan dimulakan dengan memberi ruang kepada pemancing menggayakan teknik popping terlebih dahulu. Kemudian barulah para jigger menyusul.

 

Tidak sampai setengah jam popper dan jig dikarau dan diunjun, maka saat yang dinantikan pun menjelma. Seekor GT anggaran berat 10kg berjaya didaratkan oleh Bob melalui teknik jigging. Selepas seorang demi seorang mendaratkan GT dan cupak menerusi teknik jigging, joran dan kekili khusus untuk aksi popping pun direhatkan sementara.

 

Kami meninggalkan pelantar Guntong A dengan aksi berani tekong bot menyelam ke bawah lunas bot untuk melepaskan tali pancing yang tersangkut sekaligus membolehkan GT terberat trip ini dalam anggaran 35kg berjaya didaratkan.

 

Jarak antara pelantar Tiong dan gugusan pelantar Seligi yang tidak terlalu jauh memberi kami peluang untuk memancing pada waktu siang. Khususnya untuk mempraktikkan teknik pancingan slow pitch.

 

Biarpun sudah lewat petang dan tekong pula kurang berpengalaman teknik-teknik menghanyutkan bot bagi memudahkan kami mempraktikkan teknik slow pitch ini namun kurang lebih 20 ekor juga kami berjaya menaikkan pelbagai jenis kerapu dan ibu kerisi di lubuk garisan paip berhampiran gugusan pelantar Seligi.

 

Lubuk-lubuk berhampiran pelantar minyak yang pada siang hari seperti tiada berpenghuni pada siang hari, berubah wajah apabila malam menjelma. Terutamanya lubuk di bawah dan berdekatan dengan api boreng dihujani oleh GT dan cupak memburu makanan.

 

Lantaran set slow pitch saya belum pernah diuji hingga ke tahap maksima, saya pertaruhkan set tersebut untuk bertarung dengan GT. Doa saya seperti segera dimakbulkan apabila speed jig 100 gm yang digunakan mencapai sasaran. Namun tentangan yang diberikan oleh pemangsa 20 kali ganda lebih bertenaga berbanding baby GT 2kg yang saya daratkan di pelantar Tiong.

 

Drag 28lb kekili menegak yang saya gunakan seperti pincang tugas untuk mengekang seretan pemangsa. Setelah hampir satu jam bertarung secara berganti-ganti, akhirnya GT mencecah berat 20 kilogram berjaya juga didaratkan. Saiznya tidaklah terlalu besar namun disebabkan mata kail mengenai badannya, ia menjadi punca kenapa ia begitu bertenaga untuk dikalahkan.

 

Apabila GT dan cupak mula menyepi, kami bergerak ke pelantar Tinggi yang api borengnya dapat dililhat dengan jelas dari gugusan pelantar Seligi. Pelantar Tinggi sekadar persinggahan singkat ekoran sasaran utama adalah untuk pelantar Pulai yang terletak berhampiran perairan Indonesia.

 

Meskipun pelantar Pulai sudah kurang dikunjungi berikutan kurangnya kehadiran pemangsa setelah penutupan operasi carigali, namun kami tetap juga ke pelantar Pulai sekadar untuk mencoret catatan diari memancing bahawa kami pernah ke pelantar Pulai sebelum ia terus dilupakan.

 

Dari pelantar Pulai kami kembali pelantar Seligi. Ketika tiba di Seligi, jam sudah pun 3 pagi dan ramai di antara kami sudah tertidur kepenatan. Namun aksi GT boiling dalam kuantiti yang banyak membuatkan kami yang tertidur kembali bangkit untuk melontar popper dan mengunjung jig.

 

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya apatah lagi tinggal beberapa jam saja sebelum menamatkan sesi pemburuan gerepoh boreng. Tepat jam 6 pagi trip buru gerepoh boreng ditamatkan secara rasmi dan bergerak pulang selama 15 jam sebelum singgah di pelantar Monrovia untuk memancing tenggiri dan meneruskan perjalanan selama 8 jam lagi untuk tiba ke jeti di Kuala Besut.

 

GALERI

 

 

Published by
Amang