Sempena Cabaran Memancing Bulan September, kolam pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih mengadakan pertandingan memancing di kolam tersebut, Ahad ini dengan menawarkan wang tunai melebihi RM114,000.
Sebanyak RM65,000 menanti juara Cabaran Bulan September, RM12,000 bagi pemenang di tangga kedua dan RM6,000 bagi podium terakhir. Manakala ranking terakhir di tangga ke-150 memperoleh RM150. Dan kesemua hadiah yang ditawarkan mengekalkan konsep sapu bersih.
Sebagaimana bermula pertandingan bulan lalu, pihak pengurusan kolam menetapkan spesies ikan patin Chao Phraya tidak lagi dipertandingkan sebaliknya dikategorikan sebagai hadiah khas bersama spesies tongsan sisik halus dengan menawarkan hadiah RM300 bagi tempat pertama dan RM200 untuk tempat kedua.
Selain ganjaran tunai, pihak kolam turut menawarkan 10 unit kekili jenama Shimano dan dua buah televisyen LED 32 inci berjenama bagi cabutan bertuah atau cabutan bonanza. Yuran pendaftaran penyertaan sebanyak RM100 bagi satu joran boleh dibuat di kaunter pendaftaran yang mula dibuka pada jam 1.00 petang, Sabtu nanti. Sebanyak 1,000 helai baju T lengan panjang disediakan bagi pendaftaran awal.
Menurut Eddie Rani selaku pengurus pertandingan, bagi sesi memasang pancang yang akan bermula pada 5.00 petang hari Sabtu nanti, pihak kolam telah sediakan pancang di kesemua enam buah kolam yang akan digunakan untuk pertandingan. Dalam erti kata lain, bagi melancarkan perjalanan sesi merebut spot dan atas faktor keselamatan, para peserta tidak dibenarkan membawa pancang sendiri.