Lebih RM 130,000 Tunai Sudah Menanti Di Seri Bayu Tekala

Share

 

Setelah menempa pelbagai sejarah dalam kelas tersendiri, pengurusan kolam pancing Seri Bayu Tekala mencipta satu lagi lembaran sejarah apabila menawarkan ganjaran RM80,000 bagi pemenang utama dalam pertandingan memancing Cabaran Tutup Tirai Finale 2017, Seri Bayu Tekala.

Pertandingan memancing yang bakal berlangsung pada 10 Disember dan bertempat di kolam pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih itu bukan sahaja mencatat rekod hadiah tertinggi yang pernah dianjurkan oleh pengurusan kolam bahkan merupakan kolam pancing pertama berbuat demikian di Malaysia.

Menurut pengurus acara Eddie Rani, hadiah tempat pertama tertinggi pernah ditawarkan sebelum ini berjumlah RM76,000 pada Mac lalu, pertandingan memancing sempena ulang tahun kolam Seri Bayu Tekala.

“Sekiranya anda berpendapatan RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun, hanya bermodalkan RM100 sahaja, anda sudah boleh goyang kaki untuk tempoh 40 bulan atau tiga tahun setengah sekiranya memenangi pertandingan ini,” ujarnya lagi.

Selain tawaran RM80,000 bagi kejuaraan utama, pemenang di tempat kedua bakal memperoleh RM12,000 dan RM6,000 bagi tempat ketiga pelengkap podium. Manakala tempat keempat sebanyak RM1,000; kelima RM700; keenam dan ketujuh RM500 dan kelapan hingga kesepuluh RM400. Sementara tempat ke-11 hingga ke-30 RM300; ke-31 hingga ke-50 RM250; ke-51 hingga ke-100 RM200; dan ke-101 hingga ke-150 sebanyak RM150.

Sekiranya kurang bernasib baik untuk menduduki carta 150, para peserta masih berpeluang untuk memenangi cabutan bonanza berupa sebuah motosikal Modenas Kriss dan dua buah televisyen LED berjenama.

Sementara ikan tongsan sisik halus dan patin Chao Phraya yang tidak dipertandingkan, disenaraikan dalam kategori spesies yang mana pemenang bagi kategori ini akan membawa pulang RM 300 dan tempat kedua RM 200.

Acara pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja ini boleh disertai dengan cara melakukan pendaftaran di kaunter pendaftaran kolam yang dibuka pada jam 1.00 petang 8 Disember sehinggalah bermulanya pertandingan.

Seperkara lain menurut Eddie Rani, bagi sesi memasang pancang yang akan bermula pada 5.00 petang hari Sabtu nanti, pihak kolam tidak lagi menyediakan pancang di kesemua enam buah kolam yang akan digunakan untuk pertandingan. Dalam erti kata lain para peserta perlu berlari membawa pancang sendiri dan acara pelepasan pancang akan dilangsungkan secara berperingkat.

 

Published by
Amang