Layan Surfcasting Ketam Teluk Gong @

Share

 

Hasrat untuk mencuba dan merasai sendiri keunikan pancingan ketam  yang kian popular ini sebenarnya sudah lama terpendam. Jaring-jaring ketam pemberian seorang rakan pengusaha jaring ketam juga sudah berbulan-bulan tersimpan dalam bekas peralatan memancing.

 

Justeru, apabila peluang itu menjelma, kami bertiga segera bertolak dari Shah Alam ke Teluk Gong, Melaka. Dalam perjalanan ke Teluk Gong itu masing-masing dah pasang macam-macam angan-angan. Paling tak sabar nak rasa kemanisan ketam BBQ.

 

percubaan mengganti umpan ikan dengan sosej dan minyak ketam

Setibanya di Teluk Gong, hari sudah lewat senja. Berikutan kesuntukan masa untuk mencari spot berpotensi mendorong kami untuk memilih spot yang boleh diakses dengan kenderaan paling hampir dengan pantai.

 

Ia bagi memudahkan urusan logistik kerana kami mendirikan khemah, barbeku dan memancing ketam hingga ke pagi. Lagi pun kalau kenderaan jauh dari tapak perkhemahan nanti jiwa macam tak tenteram pulak sepanjang tempoh memancing.

 

Hampir jam 8.30 malam kami mula melontar jaring ketam dengan berumpankan ikan selayang sejauh yang mampu ke laut. Kira-kira 15 minit kemudian mula mengarau pancing walaupun tiada sebarang petanda pada hujung joran. Tiada sebarang ketam yang tersangkut pada jaring.

 

ketam ragi yang sulit untuk dikeluarkan dari jaring

Tidak lama kemudian kami tarik pula pancing kedua. Kali ini dapat dirasakan jaring sedikit berat dan ternyata beberapa ekor ketam tersangkut pada jaring. Namun kesemuanya bukan ketam sasaran, sebaliknya ketam kuning atau ketam ragi.

 

Setelah beberapa kali sekadar mendaratkan ketam ragi dan menghadapi kesulitan untuk meleraikannya daripada jaring serta merasai sendiri kepaduan kuasa sepitnya, hampir saja membuatkan kami hilang rasa teruja. Namun kami segera belajar. Kami beranjak tempat dan melontar umpan lebih jauh.

 

tangkapan Fazrul menyuntik semangat kami

Tidak lama kemudian barulah dapat melihat getaran pada hujung joran dan apabila ditarik, dua ekor ketam bunga betina tersangkut kemas pada jaring. Seronok melihat ketam bunga melekat pada jaring memang sukar untuk digambarkan. Seolah-olah misi dah tercapai sepenuhnya.

Baru beberapa ekor ketam bunga didaratkan, air laut pula surut sepenuhnya. Memburukkan lagi keadaan, spot pilihan kami rupanya kawasan berbeting. Hendak berpindah spot terasa malas pula untuk berkemas segala peralatan pancing dan perkhemahan.

 

Lesen ketam diperoleh lewat malam

Sementara menanti air kembali pasang, kami teruskan juga memancing sambil tidur-tidur ayam. Sekitar jam tiga pagi barulah ketam bunga muncul kembali apabila kawasan berbeting dipenuhi air pasang.

 

Biarpun hasil memancing ketam dalam percubaan pertama kami ini tidaklah seberapa namun banyak perkara yang dapat kami pelajari. Selain dari harus lakukan tinjauan spot ketika air laut surut, peralatan yang lebih sesuai untuk memancing ketam, kami juga baru tahu  ketam kuning atau ketam ragi yang anggap sebagai pengacau, walaupun tidak banyak isinya tapi rasanya agak manis.

 

Agak banyak juga dapat dan kesemuanya dicampak kembali ke laut kecuali seekor sahaja yang kami ambil dan dibakar begitu sahaja. Saat itu barulah rasa menyesal pulak buang ketam-ketam ragi itu tadi.

Published by
Amang