Pancingan mengunjun atau jigging merupakan teknik khusus sukan memancing bagi memburu ikan pelagik mahupun demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
Kerapu Boron
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan. Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Info Kerapu boron:
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
Kakap Merah
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Info Kakap Merah:
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.
Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Temerih
Dalam skop jigging masa kini, temerih atau ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Info Temerih
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama, temerih
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Spesies Merah
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Info Merah
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.