Lagi Kategori Pemancing Berdasarkan Kajian Pakar Psikologi

Share

 

Di sini disenaraikan beberapa golongan pemancing yang mungkin wujud dikalangan mereka. Kategori pemancing ini dikategorikan berdasarkan kajian ‘psikologi pemancing’ yang telah dijalankan di negara maju. Kategori pemancing ini juga berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemancing, tentang motif atau tujuan mereka keluar memancing.

 

Kategori Cuci Mata

 

Golongan pemancing kategori ini hanya mahu menikmati keindahan alam sekitar. Kebiasaannya, mereka akan memilih kawasan yang jauh di pedalaman dan tenang dari hiruk pikuk kesibukan kota. Mereka ingin menikmati keindahan alam sekitar, seperti keindahan sungai, tasik, kehijauan tumbuhan, bunyian unggas, serta gunung-ganang, atau berada di tengah lautan – seluas mata memandang.

 

 

Kategori Go Big!

 

Mereka dalam kategori ini adalah pemburu ikan yang sebenar. Mereka hanya inginkan ikan bersaiz mega. Peralatan memancing yang digunakan juga merupakan yang kuat, tahan lasak dan biasanya berjenama. Mendapat ikan yang besar merupakan ganjaran paling tinggi yang ingin dicapai oleh pemancing kategori ini.

 

 

Kategori Kuantiti

 

Ada juga kategori pemancing yang mahu menangkap ikan dengan banyak. Saiz bukanlah ukuran, yang penting ikan yang didaratkan adalah dalam jumlah yang banyak. Mereka tidak pentingkan spesies, asalkan yang boleh dimakan atau dibawa pulang.

 

Sementara itu, ada juga dikalangan mereka yang mahukan ikan yang banyak, tetapi membawa pulang hanya beberapa ekor sahaja (mungkin bawa pulang 2 atau 3 ekor), yang selebihnya dilepaskan semula ke dalam air.

 

 

Kategori Pilih Spesies

 

Pemancing dalam kumpulan ini adalah sangat spesifik. Mereka memancing hanya untuk mendapatkan spesies tertentu sahaja. Sebagai contoh pemburu toman atau pemburu kelah. Mereka ini sangat spesifik, bukan sahaja dari segi spesies yang dimahukan, malah peralatan dan kelengkapan juga adalah yang khusus untuk menangkap spesies tertentu sahaja.

 

 

Mereka juga arif dan mahir dengan selok belok habitat atau lubuk bagi spesies buruan. Mereka ini biasanya terdiri dari golongan ‘pemancing veteran’, iaitu mereka yang telah lama memancing, berpengalaman serta mempunyai pengetahuan luas dalam aktiviti memancing. Kadangkala, mereka melepaskan semula ikan yang ditangkap ke habitat asal.

 

Kategori Takde Kategori

 

Sudah pasti, pemancing keluar memancing bukan hanya dengan satu tujuan atau matlamat. Sebaliknya, mereka memancing dengan pelbagai tujuan dan kadangkala tujuan mereka boleh menjadi begitu kompleks.

 

 

Oleh itu, tujuan memancing bagi kebanyakan pemancing boleh dikatakan mempunyai unsur ‘kombinasi’ kepada kategori yang dibincangkan di atas. Tambahan pula, manusia ini berubah-ubah, ada waktu kita mahu bersendirian, ada waktunya kita mahu bersama keluarga.

 

Begitu juga, ada waktu kita mahu menangkap ikan yang banyak, ada waktunya kita tak kisah dengan hasil tangkapan. Malah, tujuan memancing juga dipercayai berubah mengikut ‘situasi’ dan ‘lokasi’. Jika memancing di waktu hujan, tujuannya mungkin berbeza dengan memancing di waktu panas.

 

 

Begitu juga jika memancing di atas bot, tujuannya mungkin berbeza dengan memancing dari tebing. Pendek kata, pemancing merupakan insan yang mahukan kelainan dan kepelbagaian dalam mencari ‘keseronokan’ dan ‘kepuasan’ semasa memancing.

 

Published by
Amang