Lagi Insiden Yang Tak Diingini Pemancing

Share

 

Best ke jadi pemancing? Di sebalik keseronokan hobi memancing ni sebenarnya ia antara hobi yang berisiko dan boleh mendatangkan musibah. Berikut merupakan antara kemalangan yang sinonim dengan hobi memancing.

 

Luka Cedera

Sentiasa berhati-hati ketika memancing di kawasan yang licin dan berbatu-batu. Gunakan kasut yang sesuai yang tapak kasutnya mampu memijak dengan baik. Sukar digambarkan sekiranya berlaku terseliuh atau lebih parah lagi patah ketika memancing di kawasan hutan pergunungan, tebing atau pinggir pantai berbatu. Elakkan memancing atau pergi di kawasan yang berbahaya dan pastikan kasut dan pakaian yang sesuai untuk mengelak kecederaan.

 

 

Gangguan Makhluk Halus

Bagi kaki trekking memburu ikan sungai pergunungan seperti kelah dan tengas berkemungkinan tinggi akan berhadapan dengan kemalangan jenis. Kena sorok atau disesatkan oleh penunggu hutan dari kalangan jin ini merupakan perkara lumrah yang berlaku. Untuk mengatasi perkara ini daripada berlaku kepada anda maka kenalah jaga tata tertib sebagaimana memasuki sesuatu tempat yang bukan hak milik kita. Kita sendiri pun kalau orang luar buat hal kat kampung halaman kita sendiri pun boleh naik angin juga.

 

 

Mangsa Samun

Kejadian pemancing kena samun malah hingga membabitkan kehilangan nyawa sememangnya isu yang tidak boleh diabaikan begitu saja. Sekarang ini makin menjadi-jadi pula kejadian samun terhadap pemancing. Jadi, kita sebagai pemancing jangan bertindak terlalu berani sangat dengan memancing seorang diri di kawasan terpencil. Ia satu pengajaran juga kepada kaki pancing yang kedekut sangat tidak mahu berkongsi spot dengan orang lain dan menanggung risiko apabila memancing seorang diri.

 

 

Tercucuk Mata Kail

Ia merupakan kemalangan yang kerap berlaku kepada pemancing. Tidak kiralah apa segmen memancing sekali pun. Paling berisiko ialah kaki-kaki casting. Khususnya kaki casting yang memancing menggunakan bot yang melebihi seorang pemancing. Kalau tidak tercangkuk mata gewang hasil kesilapan sendiri, mungkin mata kail gewang milik rakan pula yang tercangkuk di kepala.

 

 

Bot Karam

Kalau memancing laut dalam menggunakan bot yang besar mungkin kejadian ini kurang berlaku. Sekiranya berlaku, ia bukanlah kesilapan dari pemancing. Namun ia tetap risiko yang bakal dihadapi oleh pemancing. Namun banyak kes bes terbalik atau karam di sungai atau tasik air tawar disebabkan oleh pemancing sendiri. Pengendali bot pula harus mahir dan tahu selok-belok sesuatu lokasi pancingan. Sentiasa berhati-hati ketika melewati kawasan tunggul, melalui sungai yang berarus deras.

 

 

Kemalangan Jalan Raya

Perkara paling indah buat kaki pancing adalah ‘banyak masa dan banyak duit’. Namun bukan semua kaki pancing beruntung ada kedua-duanya. Ramai kaki pancing terus pulang dari trip atas alasan kena esok masuk kerja. Penat, mengantuk, tidak tukar pemandu, tidak berehat dan tidur seketika, mengejar masa untuk sampai di rumah, antara faktor mengundang berlakunya musibah ini.

 

 

Gangguan Binatang

Dalam keseronokan memancing, pertembungan dengan binatang buas dan serangga berbisa perlu dielakkan. Namun suka atau tidak ia merupakan kemungkinan yang tinggi berlaku. Perkara paling asas adalah sentiasa bawa pisau atau parang ketika berjalan di dalam hutan.

Elakkan dari berkhemah atau berjalan di jalan dan lokasi yang berisiko. Menabur belerang sekitar khemah mampu menghindar dari kehadiran ular, kala jengking, lipan daripada memasuki khemah. Pasang unggun api sekiranya berkhemah dan bermalam di dalam hutan.

 

 

Published by
Amang