Lady Angler Tewaskan Siakap Monster Tanjung Harapan

Share

 

Bagi pemancing Lembah Klang pastinya sedia maklum dengan nama Tanjung Harapan yang terletak di Pelabuhan Klang, Selangor.

Sudah sekian lama Tanjung Harapan dikenali sebagai lokasi memancing khususnya pancingan pantai, menebing, rumah rakit, kolam air masin dan banyak juga jeti atau pangkalan untuk pancingan laut dalam.

Sementara bagi bukan kaki pancing pula turut berkunjung ke Tanjung Harapan berikutan medan ikan bakar atau restoran makanan laut tersedia di sini.

 

Pantai Tanjung Harapan juga merupakan salah satu lokasi utama bagi pertandingan memancing pantai. Sekurang-kurang sekali dalam sebulan acara pertandingan dilangsungkan oleh para penganjur.

 

Malah, boleh dikatakan setiap hari ia dikunjungi oleh para pemancing. Selain pancingan pantai atau surfcasting, lokasi ini turut dikunjungi oleh para pengilat yang menggemari teknik casting atau micro jigging.

 

 

Begitu jugalah dengan lady angler Sheda Noah dan suaminya, Dicky. Pasangan suami isteri yang menggemari pancingan lure casting dan jigging, tidak mahu ketinggalan dalam teknik casting dengan menggunakan mikro jig yang menjadi trend semasa di Tanjung Harapan.

 

Tanpa meletak harapan tinggi, Sheda hanya menurut perancangan suami untuk mencuba nasib bersama rakan pemancing MH Rafee, Dol Basir dan Jawe Dung Maro ke Tanjung Harapan.

Memandangkan baru pertama kali mencuba teknik casting mikro jig di sini, bantuan dan tunjur ajar dari rakan yang berpengalaman amatlah penting bagi Sheda.

 

 

Berbekalkan set casting dan 1 set micro jig (rod Daiwa Blast, Reel Ryobi Hustle, jig Ecooda Flexible 30g), Sheda tekun melontar dan mengarau kekili di bawah terik matahari.

Antara cabaran utama casting micro jig di pantai yang dipenuhi batuan penghalang hakisan adalah memastikan micro jig tidak tersangkut di batuan tersebut.

 

Ekoran dari faktor tersebut itulah pada awalnya Sheda menyangka jignya sudah tersangkut pada celahan.

Namun sangkaan yang menghampakan itu bertukar keterujaan apabila jig tersebut dilarikan oleh pemangsa yang tidak diketahui. Apatah lagi larian itu cukup kuat dan bertenaga.

 

 

Dengan bantuan suami dan sifu-sifu yang lain, hampir sepuluh minit Sheda terpaksa bergelut untuk menjinakkan pemangsa yang akhirnya memperlihatkan kelibatnya. Siakap!

Mengetahui ia adalah siakap dan bersaiz mega pula, Sheda semakin berdebar-debar untuk mendaratkannya dengan selamat. Dan akhirnya siakap berskala 8.4kg berjaya didaratkan sekaligus menjadi rekod peribadi Sheda yang dicemburui oleh rakan-rakan lainnya.

 

 

Published by
Amang