Lady Angler: Eica Pantang Sahut Cabaran Memancing

Share

 

Nama Penuh: NOVARIZA SYAFRIZAL

Nama FB: EICA FISH n GINCU

Usia: 31 tahun

Lokasi: Kertih, Terengganu

 

UMPAN: Ceritakan sejak bila anda mula memancing?

EICA: Dari kecil, asalnya ayah suka bawak saya menjala dan meraba ikan di bawah batu batuan. Pulang dari sekolah hal pertama yang akan saya buat adalah terjun sungai.

Sedari kecil lagi batang kayu, mata kail dan perambut adalah mainan saya. Sejak kecil lagi majoriti saya berkawan dengan geng lelaki. Sudah kebiasaan bagi saya air sungai dan ikan berpisah tiada.

UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini berbanding hobi lain?

EICA: Hobi memancing adalah sangat unik bagi saya. Iajuga memberi saya satu kepuasan dan kesabaran. Dengan memancing juga saya dapat merasai pengalaman meninjau keindahan ciptaan Ilahi.

UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi sepanjang memancing dan apa harapan anda untuk meneruskan hobi ini?

EICA: Rintangan… sepanjang memancing rintangan yang selalu saya hadapi bila turun memancing di lautan. Faktor cuaca, angin dan hujan adalah rintangan bagi saya. Bila berhadapan dengan permasalahan tersebut sudah pasti sang kumpow akan ikut bersama.

Harapan… semoga pemancing wanita diiktiraf seperti pemancing lelaki di luar sana.

Disamping itu, kami tidak renyah dan tidak gentar dalam apa juga permasalahan semasa memancing. Cuba selagi boleh dan dapat buat yang terbaik. Terimalah kami sebagai insan yang pantang dicabar.

UMPAN: Ceritakan pengalaman manis & pahit ketika memancing?

EICA: Pengalaman manis… newbies seperti saya, pada Pra AMCT 2019, saya belajar casting di Kg. Beng, Perak bersama Abah Lan (Roslan), dapat strike peacock bass 2 ekor dan sebarau dengan hanya menggunakan 1 gewang (Apache).

Ia merupakan pengalaman yang tak dapat saya lupakan… 1 gewang 3 kali strike (rezeki newbies ni kadang-kadang awesome).

 

Pengalaman pahit… bila di lautan, comfirm hal pertama yang saya sukar untuk elak adalah mabuk laut. Asal ke laut je mabuk, asal ke laut je tidur je makanan saya. Walau berkali-kali mabuk tapi saya tak kumpow… dan tiada erti untuk serik turun ke laut lagi.

UMPAN: Pencapaian membanggakan dan apa sasaran anda seterusnya?

EICA: Kini saya dapat menguasai baitcasting… dengan hanya melalui pembelajaran sehari di Kg Beng, walaupun jadi mihun… saya dapat atasi permasalahan tersebut dengan segera.

Sasaran pula… moga dapat meneruskan aktiviti sukan memancing ni dalam banyak teknik. Teknik yang menjadi igauan sekarang adalah teknik memujuk ikan bersama umpan tiruan (casting & jigging).

Published by
Amang