Dalam teks ucapan ahli dewan negara Labuan, Senator Datuk Yunus bin Kurus sempena majlis pelancaran Agropreneur Muda (sempena MyDof Media Tour 2016) bertempat di Jeti
Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan menyatakan, perairan Labuan mempunyai sumber tuna yang sangat banyak.
Pendaratan tuna sehingga purata empat tan metrik sehari. Dari jumlah itu hanya satu tan metrik sahaja yang digunakan oleh penduduk Labuan sementara tiga tan metrik lagi dihantar ke negeri jiran seperti Sabah, Sarawak dan Brunei.
Walaupun pada dasarnya ia merupakan satu peluang khususnya warga Labuan untuk menceburi bidang pemprosesan produk makanan berasaskan tuna, secara tidak langsung
ia menjelaskan betapa kayanya perairan Labuan dengan tuna terutamanya tuna sirip kuning atau yellowfin tuna yang merupakan spesies game fish idaman ramai peminat sukan memancing.
Menurut Pengarah Pejabat Perikanan Negeri, Anuar Salam Sulaiman pula, selaku pusat pendaratan utama tuna Labuan juga bersedia untuk menjadi destinasi agrotourism memancing.
Sudah sampai masanya para pemancing menyenaraikan Labuan dalam kalendar trip memancing tahunan.
“Pembinaan payau (unjam) dalam program pembangunan tuna menjadi kunci untuk memastikan populasi tuna sentiasa ada di perairan Labuan.
Walau bagaimana pun bulan September hingga Disember merupakan tempoh terbaik untuk memancing tuna. Terutamanya jika berhasrat untuk memburu yellowfin tuna gergasi sehingga saiz 120 kilogram.”
Selain melihat secara langsung proses produk berasaskan tuna terbaharu iaitu satay tuna yang diusahakan oleh usahawan agropreneur muda, Suzana Ahmad, rombongan media
dalam program MyDof Media Tour di Labuan ini turut berpeluang melihat dan menyentuh tuna sirip kuning seberat 77 kilogram hasil pancingan secara tradisional oleh nelayan tempatan.
Dengan stok ikan dan saiz gergasi yang terdapat di perairan negara ini sebenarnya kita tidak perlu pergi sehingga ke perairan Indonesia untuk memburunya.