Mungkin disebabkan kosong pengalaman ke Tasik Kenyir, maka pemilik boathouse membawa mereka memancing ke Sungai Kiang. Di Tasik Kenyir, Sungai Kiang bukanlah satu spot popular boathouse berlabuh sepertimana di Taman Negara, Berua, Temir atau Sungai Lawit. Jaraknya juga agak dekat dari Pengkalan Gawi.
Secara peribadi, penulis juga pernah mengutip pengalaman memancing di Sungai Kiang. Juga mengikuti trip satu keluarga besar yang pertama kali ke Tasik Kenyir. Malah trip yang penulis ikut serta ini lebih bernasib malang. Ia lebih kepada trip santai sahaja. Langsung takde ikan yang berjaya dipancing.
Dengan pakej yang dikenakan umpama tak masuk akal, pemilik boathouse menambah keuntungan dari dengan penjimatan bahan api dengan menjadikan lokasi Sungai Kiang sebagai destinasi utama. Tambah malang tiada sebarang tangkapan selain lampam berbanding nasib SAA yang dapat juga mendaratkan siakap, toman dan belida dengan saiz yang lumayan.
Justeru bagi trip kedua pada tahun kedua ini, SAA yang meningkat kepada 16 anggota trip dan sebahagian besarnya adalah muka baru yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir, lebih bersiap sedia untuk lebih berjaya berbanding tahun sebelumnya.
Ekoran penambahan peminat casting, 3 buah fiber tambahan digunakan dan Sungai Lawit menjadi destinasi pilihan mereka. Meskipun penulis di undang dalam trip ini sebagai guide bagi membantu mereka, namun keputusan untuk ke Sungai Lawit adalah keputusan mereka. Secara peribadi, pemilihan Sungai Lawit adalah satu keputusan yang baik juga.
Yang pasti tidak akan timbul lagi isu ‘belum puas naik boathouse dah pun sampai…!’ Ini kerana untuk ke Sungai Lawit dari ke Pengkalan Gawi memakan masa sekurang-kurangnya 4 jam dan bergantung kepada kadar kelajuan boathouse tersebut. Dan boathouse yang pernah diberi nama KD Lubuk suatu ketika dahulu memakan masa sehingga 6 jam.
Hasil pancingan di Sungai Lawit sememangnya memberangsangkan khususnya toman. Namun, landskap dan geografi Sungai Lawit selepas banjir besar hujung 2014 yang lalu ternyata banyak perbezaannya. Ekoran faktor air tasik yang masih tinggi, boathouse boleh diparkir jauh ke dalam merapati hulu sungai. Limpahan air masih meluas dan keruh.
Dengan semangat meluap-luap, tidak selepas boathouse parkir, kesemua anggota trip kecuali yang datang sebagai tukang masak sepenuh masa dan bersantai, telah bersiap untuk memancing. 4 buah bot fiber digunakan untuk keluar casting. Begitu juga dengan anggota yang memancing di boathouse.
Semua jenis umpan dikeluarkan untuk memancing apa saja ikan yang boleh dipancing. Penulis turut sama keluar casting sebagai guide dan tatkala sukar untuk mengesan sebarau, berjaya jugalah rakan yang penulis bantu itu pulang dengan seekor sebarau. Dan itulah satu-satunya sebarau pada hari pertama Team SAA di Tasik Kenyir. Sementara hasil pancingan di boathouse hingga ke lewat malam ternyata begitu menyedihkan.
Pada hari kedua, seawal pagi lagi anggota trip yang mula menjadi caster tegar sudah bersedia untuk keluar casting. Pengalaman kali pertama membawa bot fiber hari pertama memberi keyakinan untuk meluaskan kawasan casting. Namun Tasik Kenyir bukanlah tasik yang mesra walaupun kepada pemancing berpengalaman.
Apatah ketika paras airnya tinggi yang menenggelamkan banyak pulau serta menambahkan jalan pintas, dalam radius kecil saja boleh sesat apatalah lagi jika keluar casting sehingga melebihi 10 kilometer. Sesat dan bot fiber kehabisan minyak merupakan petaka yang bukan kecil anak. Apatah lagi jika berada jauh di dalam suak atau laluan utama boathouse atau bot fiber.
Untuk survival haruslah berdayung ke ‘highway’ atau laluan utama tatkala angin bertiup keras sambil berdoa munculnya bantuan. Dan nasib ternyata mengasihani 3 orang anggota SAA yang kepenatan berdayung bertembung dengan nelayan tempatan yang dalam perjalanan melabuhkan jaring.
Sementara hari kedua bagi anggota SAA lainnya lebih mesra. Ada sebarau dan toman yang berjaya didaratkan dan sekali gus menjadi juadah makan malam yang menyelerakan. Beberapa jam sebelum bergerak pulang ke Pengkalan Gawi, sekali lagi mereka turun casting. Kawasan kayu-kayu balak terkumpul dibawa arus ketika banjir yang tidak jauh dari tempat boathouse parkir menjadi pusat casting beramai-ramai ekoran ada anggota yang menaikkan 4 ekor sebarau pada petang hari kedua.
Ternyata ia menjadi rezeki dan lesen kepada anggota yang keluar seawal pagi. Apabila boathouse bergerak pulang ke Pengkalan Gawi, segala kisah pahit (sesat) dan manis (dapat ikan) dikongsi bersama sebagai teladan dan sempadan. Dan walaupun sesat dan berkemungkinan menjadi warga Tasik Kenyir, anggota SAA yang terbabit sudah terkena getah dan merancang untuk kembali lagi ke Tasik Kenyir.