
Korang kenal ikan? Adakah korang level master atau setakat nubis kubis? Apa lagi cepat buktikan!
Korang kenal ikan? Adakah korang level master atau setakat nubis kubis? Apa lagi cepat buktikan!
Nama: Luke Chua Tze Kah
Nama sosmed: Luke Chua
UMPAN: Sejak bilakah anda memancing?
CHUA: Saya mula memancing semasa kanak-kanak lagi. Kalau tidak silap saya ketika berusia 13 tahun saya sudah memancing secara serius.
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini?
CHUA: Sejak kecil lagi saya minat memelihara ikan peliharaan dan kerap mengunjungi kedai akuarium.
Dari situ bermulanya niat untuk mencuba kerana sering melihat joran dan kekili pancing di kedai akuarium.
Kebetulan jiran saya seorang pemancing yang tegar. Beliau selalu bercerita pengalaman memancingnya dan banyak mengajar asas-asas memancing kepada saya.
Saya mula menabung dan membeli set pancing beginner (joran, kekili siap tali 10lb dan mata kail) RM12 kalau tak silap.
Ikan pertama yang berjaya saya naikkan adalah di Tasik Kerry’s yang sekarang ini dinamakan sebagai Taman Tasik Ampang Hilir.
Saya seronok dan teruja pada ketika itu dan kerana minat saya meminta ayah saya untuk membawa saya memancing di kolam sekitar Hulu Langat.
Kadang-kadang mencuba nasib di bekas lombong dan sungai. Saya tinggalkan hobi memancing selepas kemalangan dan saya lumpuh dari paras pinggang ke bawah.
Tak pernah terlintas difikiran saya untuk memancing semula sehinggalah saya mengenali kawan-kawan kurang upaya yang minat memancing.
Mereka menyuntik semula semangat memancing saya yang pudar dan saya mula menyesuaikan diri di merata kolam yang saya anggap sesuai untuk golongan yang berkerusi roda.
UMPAN: Boleh ceritakan sedikit rintangan dan harapan anda dalam meneruskan hobi ini?
CHUA: Memancing secara berkerusi roda agak mencabar dan berlainan dengan saya yang sebelum kemalangan.
Saya mengambil masa mengawal daya pinggang ketika bertarung dengan ikan dan selalunya ada ramai pemancing yang berhemah memberi laluan untuk menghabiskan pertarungan saya.
Saya sentiasa memerlukan pertolongan dari kawan-kawan untuk membawa peralatan dan amat berterima kasih kepada mereka yang sentiasa membantu.
Pada pendapat saya, ramai yang di luar sana ingin mencuba hobi memancing ini, mungkin mereka serba kekurangan dan khuatir dengan keadaan di kolam dari segi kesesuaian tandas, tapak memancing, surau dan sebagainya.
Saya berharap agar pemancing-pemancing kita supaya banyak menghulurkan bantuan kepada mereka.
UMPAN: Boleh kongsikan sedikit pengalaman pahit dan manis anda memancing?
CHUA: Banyak pengalaman yang manis dan selalunya adalah bila berjaya memperbaharui rekod peribadi dari jumlah tangkapan dan berat ikan.
Memancing sekadar hobi bagi saya, kepuasannya adalah bila memancing bersama sahabat-sahabat sehobi, berkongsi teknik dan bergurau senda menghilangkan stress dari kehidupan.
(Oleh: Azrin Aliman)
Pada hari hujung minggu awal bulan yang lalu, satu komplot untuk mencari tenggiri telah dilaksanakan dengan jayanya.
Komplot diuruskan oleh kenalan saya di Pekan, Pahang yang mana segala urusan sewaan bot, makan dan minum dan termasuk makan malam diuruskan oleh dia.
Bagi saya, hobi memancing ini untuk mendapatkan hasil buruan adalah perkara kedua. Perkara pertama ialah apabila berjaya pergi keluar memancing.
Ini kerana perlu membahagikan masa antara kerja, hobi dan kawan-kawan menjadikan satu cabaran untuk memenuhi komplot memancing itu.
Walaupun jeti kami di Cenderawasih, Kuantan kami perlu tiba di Kuantan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi bagi memenuhi selera makan ikan tenggiri yang makan pada awal pagi.
Ini juga bagi menampung waktu masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi unjam yang berada di Kemaman, Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Sesuatu yang sangat mengujakan kerana jarang sekali kami perlu berlepas dari jeti seawal 5 pagi.
Bot sewaan kami berlepas tepat jam 5.30 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk tidur bagi memberi tenaga sewaktu tiba di lokasi unjam.
Saya diberi kelebihan untuk tidur atas `tilam’ di bot memandangkan saya memandu di sepanjang perjalanan.
Ikan tenggiri yang terdiri dalam keluarga Scomberomorus disukai oleh rata-rata pemancing di Malaysia kerana kekuatannya mencuri tali keluar dari kekili hingga menyebabkan kekili berdesing. Deringan inilah yang amat dirindui oleh rata-rata pemancing.
Saya sebelum ini didedahkan dengan teknik pancingan berhanyut menggunakan ikan tamban bagi memikat sang tenggiri.
Lain pula pada kali ini teknik yang digunakan kali ini 100 peratus menggunakan gewang besi yang digelar speed jig.
Tiba di lokasi unjam kami bersemangat tinggi melempar gewang dan menggunakan teknik karau laju bagi meniru aksi anak ikan yang berenang bebas.
Tekong menghanyutkan bot berdekatan kawasan unjam bagi memikat tenggiri.
Boleh dilihat, kumpulan ikan tongkol meloncat-loncat kegembiraan di tepi bot kami tapi memandang ia bukan ikan sasaran kami hanya melihat dengan tenang tetapi geram.
Hampir lenguh tangan kami mengarau laju jig tetapi tenggiri tidak berjaya dipikat. Tekong memberitahu kami yang karauan kami tidak cukup laju.
Sampai bergegar-gegar bahu kami barulah tekong luluskan tahap kelajuan itu.
Tidak memerlukan masa yang lama seekor tenggiri bersaiz lengan budak umur 1 tahun berjaya dipikat oleh ahli komplot.
Selang beberapa minit seeokor lagi tenggiri juga bersaiz lengan budak menyambar jig. Tiada pertarungan hebat berlaku kerana tenggiri agak kecil.
Seekor haruan tasik juga menyambar jig ahli komplot lain yang memberikan tarungan yang agak mendebarkan.
Agak tertekan melihat ahli komplot dah dapat melayan ikan saya mengambil keputusan untuk tidur. Tidak dinafikan teknik karau laju gewang ini memenatkan saya.
Saya dikejutkan dengan jeritan ‘dorado! Dorado!’. Rupa-rupanya satu pertarungan antara tekong dan seekor ikan dorado yang bersaiz kasar.
Saya teruja kerana ituada lah antara ikan ikan idaman saya yang juga menjadi buruan. Tanpa berlengah-lengah lagi saya melempar jig dan mengarau selaju mungkin bagi memikatnya.
Tidak semena-mena satu henjutan dirasakan. Tanpa membuang masa saya menyentak joran bagi mengemas kedudukan mata kail pada mulut ikan.
Kedengaran bunyi kekili berdesing yang mengubat rindu. Tekong menjerit `tenggiri tu!’.
Saya memastikan sewaktu ikan berenang patah balik ke bot tali sentiasa tegang bagi mengelakkan dipotong oleh gigimya yang tajam seumpama pisau.
Selepas beberapa minit ikan keletihan dan tekong berjaya membantunya naik ke atas bot.
Kami bersyukur kerana perairan di Kemaman banyak mempunyai unjam yang masih banyak menyimpan berbagai bagai jenis spesies.
Walaupun hujan lebat kami masih memburu ikan target kami bagi mengumpul sebanyak mungkin ikan sasaran kami.
Sepanjang waktu memancing hampir tidak dapat dihitung berapa ketul jig kami dicukai atau sangkut pada unjam.
Demi hobi dan keseronokan apalah sangat nak dibandingkan dengan perkara itu, bukan? Kami hadap situasi itu dengan sempurna bagi mengelak kemurungan.
Selepas bot berlabuh di jeti dan menurunkan barang kami membahagikan ikan sama rata. Dan saya bersiap untuk keseronokan seterusnya iaitu acara makan.
Perkara wajib selepas memancing ialah makan beramai-ramai ikan segar terus dari lautan.
Restoran Cina yang diyakini halal menjadi pilihan kami untuk memasak hidangan menjamu selera.
Jelas terpancar kepuasan di mata setiap ahli sungguh pun tangan kami dah terasa besar sebelah akibat teknik karau laju.
Selesai makan kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Satu rekod bersejarah kerana sepanjang memancing saya tidak pernah terlalu penat begini.
Bayangkan dari Kuantan untuk ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 jam akibat sering berhenti dan tidur bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Sampai di hadapan rumah saya pun kami sambung tidur dalam kereta sampai Subuh. Nak angkat jari pun dah tak larat.
Ketam nipah memang sudah terkenal sejak dulu lagi dijadikan juadah di meja makan. Namun disebalik keenakan rasanya, pernahkah anda terfikir untuk merasai sendiri pengalaman menangkap ketam nipah ini?
Jika anda ada menyimpan angan-angan tersebut, jangan bimbang! Anda boleh merasai sendiri pengalaman baru menangkap ketam nipah menggunakan bento atau bubu ketam di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, Johor.
Sempena kunjungan trip media anjuran Tourism Malaysia Johor, ia memberi peluang kepada saya untuk mencuba sendiri satu tarikan eko-pelancongan negeri ini. Kampung Sungai Melayu yang merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di Mukim Pulai, dengan jarak 10 km dari Gelang Patah.
Selangkah sahaja menjejakkan kaki di sini saya telah terpana dengan suasana nyaman dan damai kampung yang dihiasi pemandangan paya bakau ini.
JadiI Nelayan Sehari
Di sini, saya dapat merasai sendiri pengalaman pertama menangkap ketam menggunakan bento ini. Tidaklah sesukar mana rupanya untuk mengendalikan bento ini. Hanya menggunakan isi ikan atau ayam sebagai umpan dan meletakkan ke dalam bento tersebut. Kemudiannya, bento itu dilepaskan di dasar Sungai Gading selama kira-kira 30 minit sebelum kami kembali semula untuk memungut hasil.
Sementara menunggu waktu untuk memungut ketam, saya dibawa menyusuri sepanjang sungai untuk melihat sendiri suasana hutan paya bakau yang begitu menenangkan. Saya turut diperjelaskan, bahawa kawasan hutan bakau di sini merupakan habitat pelbagai burung migrasi.
Selain itu, kami turut bertembung dengan beberapa kumpulan pemancing yang sedang memancing di sini. Menurut mereka, sungai ini juga menjadi antara spot terbaik untuk memancing siakap putih, siakap merah, kerapu, semilang dan pelbagai spesies lagi.
Setelah seketika menyusuri sungai yang dikelilingi pokok bakau ini, saya kembali semula ke tempat pelepasan bubu untuk melihat hasil tangkapan. Saya diberi peluang merasai sendiri pengalaman menaikkan bento ketam ke dalam bot.
Bagaikan membuka kotak hadiah misteri, tali ditarik perlahan-lahan untuk mendaratkan bento. Bubu yang pada mulanya kosong berjaya memerangkap seekor ketam nipah yang bersaiz besar dan sedikit agresif.
Raih Pengalaman Baharu
Setibanya di jeti, saya diajar teknik mudah untuk mengikat ketam yang ditangkap menggunakan tali rafia bagi mengelakkan terkena penangan sepitan ketam ini. Ketam yang ditangkap boleh hidup di darat dalam jangka masa yang lama kerana kerana mempunyai satu ruang yang mengandungi sedikit air pada insangnya yang boleh ditutup untuk membantu pernafasannya.
Seusai misi pencarian, saya dibawa untuk menjamu selera dengan masakan kampung yang amat menyelerakan. Asam pedas resipi asli, kangkung goreng belacan, sambal, ketam dan udang, apa lagi yang ditunggu, kami makan dengan berselera. Memang lazat!
Sememangnya, aktiviti sebegini memberi pengalaman baru terutamanya buat anak-anak muda untuk merasai suasana sebenar masyarakat nelayan serta menghargai eko sistem alam semula jadi. Tambahan pula, sedikit ilmu dapat dibawa pulang dimana pengalaman menangkap ketam menggunakan bento merupakan suatu aktiviti yang amat menyeronokkan.
Jelaslah, Kampung Sungai Melayu ini boleh diketengahkan untuk menjadi salah satu lokasi eko-pelancongan yang popular di masa hadapan. Saya dikhabarkan akan ada lebih banyak homestay akan dibina di kampung ini khusus untuk menaikkan industri pelancongan di kawasan ini.
Diharapkan dengan usaha berterusan ini akan mampu menarik lebih ramai pelancong, khususnya kaki pancing untuk bertandang dan merasai pengalaman menjadi nelayan sehari di sini.
Selain crab netting, Kampung Sungai Melayu turut terkenal dengan aktiviti sungai seperti menangkap kupang, ikan dan udang. Kulit kupang turut dijadikan sebagai salah satu produk kraftangan oleh masyarakat tempatan. Selain itu, pelancong turut dapat melihat sendiri rutin kehidupan penduduk dan perusahaan kecil seperti pembuatan belacan.
© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn. Bhd 🎣 Dikendali Oleh Astro Group