SOALAN:

Saya akan join trip mancing kat rumah rakit di Sepang tak lama lagi. First time saya nak mancing kat rumah rakit ni. Jadi, boleh tak admin bagi sedikit tips umpan yang terbaik yang saya nak guna nanti? Terima kasih admin.

 

JAWAPAN:

Terlebih dahulu admin ucapkan tahniah kerana anda meluaskan wilayah padang pancing. Seperkara yang harus diingati, pancingan di rumah rakit atau kelong lebih berkonsep pancingan santai.

 

Oleh yang demikian, anda haruslah bersedia sekiranya tiada tangkapan istimewa yang diperolehi. Malah berkemungkinan besar langsung tiada hasil.

 

Tidak dinafikan umpan memancing merupakan salah satu daripada faktor penting bagi kejayaan memancing di rumah rakit.

Selain itu, faktor pasang surut dan pergerakan arus juga perlu diambil kira untuk memperoleh hasil yang baik. Jika sekadar ingin bersantai, faktor ini tidaklah perlu diambil kira.

 

Biasanya waktu air pasang besar merupakan tempoh terbaik untuk memancing di rumah rakit.

Terutamanya rumah rakit yang terletak agak ke dalam sungai berjauhan dari muara atau kuala. Waktu ini ikan-ikan besar dari laut gemar memasuki sungai hingga ke sempadan air payau.

 

Umpan yang paling biasa digunakan bagi pancingan muara ialah semua jenis ruat atau umpun-umpun. Selain itu, sebaiknya anda bawa juga umpan udang hidup dan udang mati.

Udang hidup merupakan umpan paling baik jika sungai di rumah rakit tersebut dihuni siakap, jenahak, tetanda atau sembilang.

Anda juga boleh bawa umpan lain berbentuk hidupan muara. Namun memadai jika membawa udang hidup dan perumpun.