Umpan apakah yang sesuai untuk memancing baung dan keli. Apakah jenis umpan yang sesuai untuk ikan di kolam air tawar?
JAWAPAN:
Ads
Kolam air tawar dihuni pelbagai spesies ikan yang mempunyai naluri dan diet makanan tersendiri. Namun biasanya hampir semua ikan ternakan kolam diberi makan dedak. Ada pelbagai jenis dedak untuk makanan ikan kolam air tawar. Namun masalah ketara kepada kaki pancing ialah pemilihan jenis dedak yang terlalu banyak di pasaran dan cara memasang dedak pada mata kail. Penulis cuba rumuskan jenis umpan dan sasaran ikan yang biasa diperoleh daripada umpan berkenaan.
Cacing (hampir semua ikan kolam kecuali patin). Cengkerik (pacu, baung, keli dan tilapia). Usus/perut ayam (keli/ keli Afrika dan patin). Roti/sisa roti (tongsan, kap dan patin). Udang sungai (baung, ketutu dan tilapia). Anak ikan (belida, toman, baung dan keli). Serangga termasuk belalang (tilapia, ketutu, keli, pacu dan baung). Katak (toman dan haruan). Dedak (patin, rohu, tongsan dan leekoh).
Ads
Antara umpan yang disebutkan, dedak paling popular dan digunakan secara meluas di kebanyakan kolam. Dedak di pasaran ada pelbagai jenis, jenama dan saiz. Ia biasanya diadun dengan telur, air belacan, air sirap, santan kelapa, sisa biskut dan macam-macam lagi.
Ads
Ada juga pemancing mencampurkan adunan pelbagai dedak supaya lebih berkesan. Ini tidak termasuk dedak yang diperam semalaman atau lebih sehingga berbau tengik untuk menarik ikan.
Betul ke ikan sembilang dan ikan gemang tu ikan yang sama? Atau lain-lain spesies? Boleh tak admin buat pencerahan sikit.
JAWAPAN:
Terdapat kekeliruan antara sembilang dan gemang namun berdasarkan buku rujukan ikan tempatan, sembilang dan gemang adalah spesies yang sama iaitu Plotosus canius Dalam kekeliruan ini ada yang mengatakan gemang adalah nama khas buat sembilang yang besar. Sebagaimana senangin menjadi gubal atau kurau membesar menjadi senohong.
Namun kenyataan ini disangkal sama sekali oleh pemancing yang arif tentang kedua-dua jenis ikan tersebut. Menurut mereka, sembilang dan gemang adalah spesies berlainan biarpun habitat dan tabiatnya serupa.
Bentuk fizikalnya memang sama tetapi jika diperhati dengan teliti, terdapat perbezaan jelas di antara kedua-duanya iaitu dari segi bentuk kepala dan warna.
Kepala gemang lebih besar dan leper termasuklah bukaan lebar mulutnya, tetapi sembilang berkepala kecil. Warna badan sembilang pula lebih gelap berbanding gemang.
Andaian ini sukar dibuktikan selagi kita tidak memperoleh sembilang dan gemang yang sama saiznya untuk dibuat perbandingan.
Sekiranya benar, kajian lebih mendalam harus dilaksanakan oleh para pengkaji ikan tanah air bagi mendedahkan siapa sebenarnya gemang.
Boleh tak admin bagitau waktu bila sesuai memancing udang galah dan berikan sedikit tip untuk memancingnya?
Saya sudah beberapa kali mencuba tetapi masih lagi kumpau! Langsung tak pandai nak tengok sama ada udang dah mengena atau belum.
JAWAPAN:
Memancing udang galah boleh dilakukan sepanjang masa kecuali pada musim tengkujuh. Pada musim tengkujuh ataupun musim banjir adalah tidak sesuai memancing udang galah kerana paras air yang terlalu tinggi, aliran air yang deras serta keadaan air yang sejuk.
Masa yang paling sesuai atau cantik ialah ketika musim panas terutamanya selepas 3-5 hari tanpa hujan. Ketika ini air sungai menjadi suam dan itu akan mendorong udang galah aktif keluar mencari makan.
Rasanya dalam posting berkenaan udang galah sudah banyak diberikan panduan. Untuk mengetahui sesuatu lokasi itu berpotensi atau tidak, umpan perlu selalu diperiksa pada mata kail.
Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, perlulah mengangkat joran untuk mempastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
Jika selepas 15-30 minit masih tiada isyarat udang memakan umpan, kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu mencari lain atau baru.
Memancing udang galah sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Banyak perkara yang anda perlu pelajari dan cara terbaik untuk memperoleh ilmu ini ialah dengan berguru. Carilah seorang otai pancingan udang galah dan ikutilah trip memancing bersama-sama.
Sekiranya anda baru belajar menggunakan baitcasting reel, saya mencadangkan lebih baik menggunakan tali braided. Sebaiknya guna braided yang lebih besar diameternya. Saya tidak menyarankan anda menggunakan tali tangsi kerana sifat tali tangsi yang bermemori atau berspring ini akan menyebabkan tali tangsi tidak dapat disimpan dengan kemas di dalam spool.
Apabila susunan tali tangsi tidak kemas pada spool ia akan menyebabkan kesukaran atau mengganggu kelancarannya keluar dari spool apabila melakukan lontaran. Akibatnya tali mudah kusut atau jadi sarang burung. Kelancaran balingan akan menjadi lebih teruk apabila tali tangsi `patah’ akibat dari kekusutan tersebut.
Jika anda menggunakan braided berdiameter halus sebagai permulaan pula anda akan berhadapan dengan sakit kepala untuk meleraikannya apabila kusut. Tahap kesukaran untuk meleraikannya berpuluh kali ganda lebih susah berbanding menggunakan tali tangsi. Jadi gunalah braided berdiameter besar.
Berkenaan dengan saiz pula, anda boleh gunakan saiz yang dikehendaki. Namun pastikan ia sepadan dengan setup pancing dan juga jenis pancingan yang anda ingin lakukan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...