SOALAN:

Saya teringin nak try mancing haruan tapi tak pandai nak main casting. Saya nak mancing cara biasa-biasa saja tapi tak nak guna katak. Geli dan kesian kat katak tu. Jadi, ada tak umpan lain yang boleh digunakan selain katak?

 

JAWAPAN:

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa katak adalah umpan yang paling kerap digunakan untuk memancing haruan. Katak dikatakan umpan paling yang efektif dan murah untuk menjerat spesies snakehead ini.

 

Namun, tidaklah bermakna hanya katak saja yang akan disambar oleh kerana bukan hanya katak sahaja yang merupakan diet utama haruan.

 

Sebagaimana dinyatakan dalam ruangan Info Spesies bagi haruan, katak bukanlah diet utama haruan. Sebaliknya katak hanyalah rantaian makanan sebagaimana ia memakan amfibia, reptilia, serangga atau haiwan-haiwan akuatik lainnya.

 

Hanya kerana katak ini lebih mudah ditemui oleh pemancing untuk digunakan sebagai umpan berbanding diet utama haruan.

 

Oleh yang demikian, haruan juga boleh dipancing dengan menggunakan kaedah umpan hidup yang lain seperti cicak, belalang, anak ikan, udang dan cengkerik. Sementara umpan umum yang banyak digunakan selain katak ialah cacing.

 

Saya sendiri pernah berpengalaman memperolehi haruan dengan menggunakan umpan cacing, walaupun tujuan sebenar adalah untuk memancing ikan lain. Tetapi ia sudah cukup membuktikan bahawa cacing boleh digunakan untuk memancing haruan.

 

Sedikit tip yang boleh dikongsikan, cubalah cangkuk 3-5 ekor cacing pada mata kail. Jumlah cacing yang banyak ini lebih cepat menarik perhatian haruan berbanding hanya menggunakan seekor saja. Selamat mencuba!