SOALAN:

Sehingga sekarang saya masih belum lagi ada lesen ebek. Boleh tak admin kongsi sedikit tip untuk memancing ebek?

JAWAPAN:

Pada Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin dalam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya sekali gus menjadikan senarai tersebut sebagai diet makanan utama.

Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidak sesukar mana. Bermula dari kawasan muara sehinggalah ke laut lepas.

Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu dan Pahang. Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun.

Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang.

Selain dipancing dengan menggunakan umpan konvensyional, ebek turut menjadi spesies idaman penggemar teknik jigging menggunakan kepingan besi atau jig. Tidak dinafikan dalam sukan memancing, ebek merupakan antara spesies buruan berikutan aksi pertarungan yang dipersembahkannya.

Ebek boleh dipancing dengan teknik dasar atau jigging/light jigging di kawasan berbatu. Jig yang dipilih sebaiknya warna silver, hijau.
Tetapi warna jig yang terang seperti pink, juga boleh, namun bergantung juga kepada lokasi, air, kedalaman air.

Diet utama ebek ialah krustasia bergerak perlahan. Jadi umpan yang efektif yang mungkin anda boleh cuba ialah udang hidup. Selain itu, tamban, ketam angin dan sotong cumit juga boleh digunakan. Gunakan perambut yang panjangnya sekitar 3 kaki ke atas.