Hai admin. Saya nak minta pandangan admin tentang saiz kekuatan tali pancingan pantai. Saya ada spinning reel siri 8000 dan joran surfcasting sepanjang 15kaki. Persoalannya, sesuai atau tidak jika saya masukkan tali braided 80lb?
JAWAPAN:
Pancingan pantai atau surfcasting merupakan salah satu teknik pancingan di kawasan pantai. Secara amnya, teknik ini amat mementingkan jarak lontaran umpan jauh ke tengah laut di mana terdapatnya lubuk-lubuk yang berpotensi.
Terutamanya di kawasan pantai yang landai dan cetek. Justeru jarak lontaran umpan jauh ke tengah amat penting bagi membolehkan umpan sampai tepat ke lubuk atau kawasan ikan.
Ads
Untuk membolehkan lontaran umpan sampai ke kawasan sasaran, faktor panjang joran amat memainkan peranan untuk tujahan balingan serta meminimumkan tolakan ombak ke arah daratan pada tali utama.
Oleh yang demikian penggunaan joran panjang melebihi 12 hingga 17kaki amat membantu. Ini kerana secara teorinya semakin panjang joran maka semakin jauh jarak lontaran umpan dapat dilakukan.
Selain faktor panjang joran, diameter tali pancing juga turut memainkan peranan. Selalunya penggunaan tali sulam atau benang (braided) sering digunakan membolehkan lontaran umpan yang sempurna.
Ads
Namun tali benang kekuatan 80lb jenis empat sulaman sebenarnya agak besar/kasar dari segi diameter.
Kekuatan tali tiada masalah pada asasnya namun saya mengesyorkan anda menggunakan tali berdiameter lebih kecil untuk memaksimumkan jarak lontaran anda. Lazimnya tali sulam 20-40lb adalah lebih sesuai.
Saya teringin nak try mancing haruan tapi tak pandai nak main casting. Saya nak mancing cara biasa-biasa saja tapi tak nak guna katak. Geli dan kesian kat katak tu. Jadi, ada tak umpan lain yang boleh digunakan selain katak?
JAWAPAN:
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa katak adalah umpan yang paling kerap digunakan untuk memancing haruan. Katak dikatakan umpan paling yang efektif dan murah untuk menjerat spesies snakehead ini.
Namun, tidaklah bermakna hanya katak saja yang akan disambar oleh kerana bukan hanya katak sahaja yang merupakan diet utama haruan.
Sebagaimana dinyatakan dalam ruangan Info Spesies bagi haruan, katak bukanlah diet utama haruan. Sebaliknya katak hanyalah rantaian makanan sebagaimana ia memakan amfibia, reptilia, serangga atau haiwan-haiwan akuatik lainnya.
Hanya kerana katak ini lebih mudah ditemui oleh pemancing untuk digunakan sebagai umpan berbanding diet utama haruan.
Oleh yang demikian, haruan juga boleh dipancing dengan menggunakan kaedah umpan hidup yang lain seperti cicak, belalang, anak ikan, udang dan cengkerik. Sementara umpan umum yang banyak digunakan selain katak ialah cacing.
Saya sendiri pernah berpengalaman memperolehi haruan dengan menggunakan umpan cacing, walaupun tujuan sebenar adalah untuk memancing ikan lain. Tetapi ia sudah cukup membuktikan bahawa cacing boleh digunakan untuk memancing haruan.
Sedikit tip yang boleh dikongsikan, cubalah cangkuk 3-5 ekor cacing pada mata kail. Jumlah cacing yang banyak ini lebih cepat menarik perhatian haruan berbanding hanya menggunakan seekor saja. Selamat mencuba!
Salam admin… boleh tak admin jelaskan fungsi titik hitam bulat pada sesetengah gewang?
JAWAPAN:
Setiap pancingan yang menggunakan umpan tiruan atau gewang, faktor warna dan kedalaman air sangat perlu diambil kira. Oleh kerana warna gewang yang kita gunakan akan memberi impak pada penglihatan ikan di dalam air seperti warna yang terang seperti oren; merah; kuning dan hijau akan hilang dalam satu tahap kedalaman air.
Warna air dan keadaan cuaca juga memberi kesan kepada penggunaan gewang. Air keruh, jernih, hijau dan air hitam, semua memberi effect pada gewang yang kita gunakan. Kalau bintik pada badan gewang… mungkin untuk menyerupai anak-anak ikan buruan seperti sepat atau apa lagi ikan yang ada bintik.
Sebenarnya admin tidak pasti jawapan yang sebenar. Namun pada pendapat saya, fungsi bintik hitam seakan tahi ini akan jadi titik penarik perhatian pada ikan. Pada gewang lure yang aksinya lebih pada wobling… bintik hitam ini akan kelihatan seperti satu garis `hidup’ pada badan gewang. Sama juga dengan gewang yang aksinya berenang selari. Bintik hitam ini akan jadi titik penarik perhatian ikan bila digayakan.
Untuk lebih jelas cuba buat video action lure bergerak lepas tu fast forwardkan video tu. Nak lagi senang, pergi dekat table fan buat satu bintik hitam kat salah satu bilah kipas, lepas tu pusing dengan tangan nanti bintik hitam tadi akan membentuk satu garisa. Macam itu jugalah keadaan bintik hitam atau tahi lalat pada gewang akan kelihatan bila bergerak. Ini pendapat admin la.
Saya masih keliru kenapa ada sesetengah joran yang sama panjang tetapi bilangan cincin di joran tersebut berbeza-beza.
Saya pernah tengok joran 6’6” dengan 7 cincin dan satu lagi joran sampai 9 cincin. Apa beza joran 7 cincin dengan 9 cincin ni admin?
JAWAPAN:
Sebelum saya jawab apa perbezaannya, terlebih dahulu elok juga kita faham apa fungsi cincin atau guide pada joran.
Tujuan utama cincin dipasang pada joran adalah untuk mengelakkan tali pancing dari terkena atau tergesel pada batang joran.
Jika bergesel semasa lontaran ia akan menjejaskan kelancaran sekaligus menyebabkan jarak balingan berkurangan. Kemungkinan juga tali akan putus.
Ketika bertarung dengan ikan ia akan mengurangkan geseran dan membantu lenturan joran dengan sempurna.
Cincin ini diperlukan sekiranya kita hendak mengurangkan geseran yang akan menghindarkan jarak semasa casting dan semasa melawan ikan.
Satu lagi fungsi cincin pada joran, ia berfungsi sebagaimana laras pada senapang. Di mana ia dapat membantu hala tuju ketepatan gewang kita (di sinilah kita perlu menambah cincin sekiranya perlu).
Tapi saya rasa kebanyakan joran yang berjenama mampu memberi ketepatan tanpa menambah cincin.
Cincin juga membantu memberi rangsangan pada joran kepada pemancing semasa ikan menyentuh umpan serta mampu menambah jarak balingan sekiranya cincin yang digunakan dengan itu dari jenis yang ringan serta bermutu.
Kesimpulannya, semakin banyak cincin pada joran maka ia akan menambah kekuatan pada joran tersebut.
Justeru itulah kita dapat melihat joran aksi perlahan bagi pancingan dasar laut dalam memiliki cincin yang lebih banyak berbanding joran aksi sederhana dan berat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...