Korang Tanya Umpan Jawab Spesiel – Soal Jawab Perihal Puasa

Share

 

Isu perkara yang membatalkan puasa, tumpuan utama patut diberikan kepada hukum yang disepakati sahaja.

Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.

 

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang akal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Ada pun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramadan.

Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:

 

SOALAN:

Bolehkah mengambil pil bagi elak haid supaya dapat berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan?

 

JAWAPAN:

Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

 

SOALAN:

Bagaimana dengan hukum berpuasa jika melakukan suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal?

 

JAWAPAN:

Terdapat dua jenis; sama ada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, paintkiller dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah, hlm 226).

Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

 

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan.

Pandangan majoriti adalah; tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa.

 

Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll).

 

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

 

SOALAN:

Apa pula hukum jika berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu?

 

JAWAPAN:

Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadis: “Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu

Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

 

SOALAN:

Bagaimana dengan hukum berpuasa bagi orang yang berpuasa tetapi melakukan maksiat seperti tidak solat?

 

JAWAPAN:

Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadan. Pahala puasanya pula akan terhapus.

Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda:

“Barangsiapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban).

 

Published by
Amang