Salam admin, saya nak tanya… betul ke umpan kolam tak boleh pakai dekat habitat liar?
Contoh umpan ikan-ikan kolam air tawar kalau guna dekat sungai, ikan target tak mahu makan?
JAWAPAN:
Ads
Sukar juga untuk saya bersetuju dan tidak bersetuju dengan pendapat anda ini. Ini kerana pendapat anda ini ada pro dan kontra tersendiri.
Ini kerana, pada asasnya kebanyakan umpan yang digunakan untuk pancingan kolam komersial air tawar adalah umpan asas untuk pancingan ikan liar di sungai.
Sebagai contoh, jika kita memancing ikan patin liar di sungai menggunakan umpan roti, umpan yang sama juga digunakan untuk memancing patin di kolam.
Ads
Bezanya adalah dari segi penggayaan dan persembahan umpan.
Jika anda maksudkan umpan kolam ini berupa bahan perisa seperti strawberi, pandan, pisang, badam atau sebagainya yang dicampurkan dengan umpan asas tidak sesuai digunakan untuk memancing di sungai, ia mungkin ada betul mungkin juga tidak.
Ads
Ini kerana bahan asas umpan itu tetap merupakan makanan ikan. Sementara bahan perisa itu yang dicampurkan itu berperanan sebagai daya penarik kepada ikan untuk mendekati umpan.
Apa yang paling utama sebenarnya adalah umpan yang digunakan untuk tepat untuk ikan sasaran.
Tentu saja jika anda menggunakan umpan roti berperisa strawberi untuk memancingkan ikan sebarau liar, tentu saja ia tidak akan berkesan.
Malah ikan sebarau kolam pun tidak akan memakannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kalau nak casting ikan air tawar macam sebarau, perambut jenis mana lebih sesuai untuk dijadikan leader. Perambut yang lembut atau keras?
JAWAPAN:
Saya mengandaikan leader lembut yang dimaksudkan adalah monofilament shock leader dan leader keras ialah fluorocarbon. Pada asasnya kedua-dua leader ini sesuai dan boleh digunakan. Tujuan leader digunakan adalah sebagai penyerap hentakan berikutan penggunaan tali sulam yang tiada memori.
Namun secara peribadi saya lebih selesa menggunakan monofilament shock leader untuk casting di air tawar. Untuk casting air masin pula saya memilih fluorocarbon.
Saya lebih selesa menggunakan monofilament leader atas beberapa sebab. Pertama, sifat elastik monofilament berbanding fluorocarbon yang agak kejung sedikit sebanyak ia tidak mengganggu aksi gewang terutamanya gewang-gewang kecil.
Kedua, sifat monofilament yang lebih elastik dan lembut juga membolehkan ia digunakan lebih panjang sehingga boleh dimuatkan ke dalam gelendung kekili. Ia tidak seperti leader fluorocarbon yang akan menjejaskan kelancaran balingan apabila disambung terlalu panjang sehingga ke dalam gelendung. Semakin panjang leader bermakna semakin jauh jarak halimunan gewang dengan tali utama.
Ketiga, monofilament leader lebih ringan berbanding fluorocarbon sekaligus menyebabkan ia lebih lambat tenggelam. Perbezaan ini boleh dikenal pasti jika menggunakan gewang permukaan. Fluorocarbon yang berat dan mudah tenggelam akan menyebabkan gewang permukaan akan mendongak ke bawah sekaligus menjejaskan sedikit aksi renangannya.
Dan keempat, kebanyakan perairan air tawar tidak memiliki stuktur atau objek tajam sebagaimana di perairan air masin. Oleh yang demikian ia tidak memerlukan leader yang keras dan tahan lasak menangkis geseran.
Saya harap dapat buat satu penjelasan penuh perihal spesifikasi line capacity yang biasanya tercetak pada spool reel. Saya rasa ramai pemancing baru tidak faham maksud sebenar line capacity ni.
JAWAPAN:
Line capacity – Istilah ini merujuk kepada panjang tali pancing (mono atau braided) yang boleh dimuatkan dalam gelendung kekili (spool). Kebanyakan reel terdahulu hanya menyatakan kekuatan (lbs) dan panjang (yard/meter) yang boleh dimuatkan dalam spool berpandukan tali tangsi (mono).
Kini, semakin banyak pula menyatakan berapa panjang tali yang boleh dimuatkan berdasarkan ukur lilit atau diameter tali tersebut, yang merujuk kepada penggunaan tali sulam atau braided. Semakin halus diameter, maka semakin banyaklah muatan tali yang boleh disimpan di dalam gelendung.
Terdapat beberapa jenis informasi yang biasa dicatatkan pada kekili atau kotak kekili iaitu lb/yd, lb/m atau dia/m. Untuk ib/yd (pound/yard) ia membawa makna kekuatan tangsi dalam pound dan panjang yang boleh diisi dalam yard atau ela.
Tali yang dimaksudkan di sini ialah tali mono, bukannya tali sulam kerana lazimnya tali mono mempunyai diameter yang sama. Sebagai contoh, 10/110 membawa maksud tali mono 10lb dapat dimuatkan sebanyak 110 yard/ela di dalam spool.
Begitu juga dengan kiraan lb/m. Sebagai contoh 10/100, tali mono 10lb boleh dimuatkan sebanyak 100meter di dalam spool. Manakala dia/m pula merujuk kepada ukurlilit tali (mono atau braided, lazimnya lebih merujuk kepada tali braided) yang boleh dimuatkan dalam meter. Umpamanya 0.5/200 bermaksud saiz tali berdimater 0.5mm boleh diisi sepanjang 200meter di dalam spool kekili.
Saya baru menjinakkan diri dalam arena casting. Saya dapat lihat ramai rakan-rakan yang menggunakan ‘shock leader’ yang disambungkan pada tali utama (braided) mereka. Bolehkan saya tahu, apakah fungsi ‘shock leader’ ini? Adakah ia benar-benar penting?
JAWAPAN:
‘Shock leader’ ataupun bahasa mudahnya perambut kejutan atau perambut serap tekanan merupakan penyambung tali sulam dengan tali perambut yang biasa diperbuat daripada bahan fluorocarbon. Penggunaan ‘shock leader’ ini semakin meluas digunakan bagi kaki pancing yang menggemari teknik casting, jigging atau trolling.
Fungsi utamanya ialah ia menjadi alat untuk menyerap tekanan mengejut daripada sambaran ikan apabila ikan menyambar umpan. Selain itu, ia juga bertindak sebagai alat untuk mengurangkan tekanan geseran pada struktur dan pada masa yang sama ia juga mampu untuk mencangkukkan mata kail dengan lebih kemas pada mulut ikan.
Kelebihan inilah menjadikan ‘shock leader’ ini sering digunakan kaki pancing masa kini, terutamanya bagi mereka yang menggunakan tali sulam kerana tali sulam tidak mempunyai kuasa regangan untuk menampung henjutan kuat secara tiba-tiba dan tugas ini dipikul perambut tangsi yang akhirnya bertindak sebagai penyerap sentakan atau absorber.
Sebaliknya jika menggunakan tali tangsi atau monofilament sebagai tali utama maka penggunaan shock leader tidak diperlukan lagi. Ini kerana tali tangsi memiliki memori tidak sebagaimana tali braided. Dalam pada masa yang sama ia juga bertindak sebagai shock leader.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...