SOALAN:
Boleh tak admin buat penjelasan ringkas apa itu assist? Saya juga mendapati assist hook (dua mata) hampir menyamai perambut V pancingan kolam yang sudah sekian lama diguna pakai.
Adakah assist hook ini diilhamkan dari perambut ini?
JAWAPAN:
Pada kebiasaannya, assist hook merupakan daripada sebentuk atau lebih mata kail yang dipadankan dengan tali sulaman pendek yang kuat atau kevlar.
Atau dalam erti kata lainnya assist hook merupakan satu atau dua mata kail yang telah disambungkan melalui sesuatu ikatan dengan kevlar.
Konsepnya sama sahaja dengan mata kail yang telah diikat dengan perambut tangsi atau tali sulam yang dinamakan perambut V, perambut Y, perambut cabang atau sebagainya yang digunakan untuk pancingan kolam dan lain-lain lagi.
Namun assist hook lebih sinonim dengan teknik pancingan mengunjun kepingan jig atau jigging.
Lazimnya juga assist hook ini dipasangkan pula pada split ring. Secara mudahnya, assist hook ialah mata kail khusus yang dipasang jig.
Penggunaan assist hook dalam teknik jigging adalah penting untuk meningkatkan peratusan ikan tercangkuk pada mata kail ketika anda strike ikan.
Sambungan terus mata kail pada jig juga boleh digunakan dan ia bukanlah kesalahan. Namun peratusan hook up menggunakan assist hook adalah lebih tinggi.
Selain itu pengunaan assist hook ini turut dapat mengelakkan ikan terlucut atau pun terlepas kerana cangkukkan mata kail lebih solid.
Malah dengan menggunakan assist hook dua mata kail membolehkan mata kail yang bebas bergerak (yang tidak tercangkuk pada ikan) tercangkuk pada bahagian ikan lainnya pula.
Sekaligus ia menambahkan lagi hook up atau umpama tambahan insuran.
Assist hook biasanya dijual secara berpasangan namun seeloknya buatlah sendiri kerana anda akan lebih berpuas hati dan ia perkara mudah untuk membuatnya dan yang paling penting ia menjimatkan wang anda.
Dan yang pasti, penggunaan assist hook sudah sekian lama dipraktikkan dan sama sekali tidak diilhamkan dari kolam pancing.