Korang Tanya Umpan Jawab -S9S13- Nak belajar main bottom di laut?

Share

 

SOALAN:

Saya baru nak belajar memancing laut main bottom. Rod, mesin dan tali jenis apa yang sesuai untuk saya beli ya…. boleh min bagi tips dan tunjuk ajar tak?

 

JAWAPAN:

Sebagai permulaan bagi pancingan bottom di laut berkedalaman kurang dari 10meter, saya menyarankan anda menggunakan set spinning dahulu.

Spinning rod aksi sederhana khusus untuk bottom berkekuatan 15-30lb atau PE1-3.

Sebaiknya carilah rod yang khusus untuk pancingan air masin kerana kebanyakan materialnya lebih tahan kakisan air masin.

 

Mesin atau kekili pula dari siri 4000 hingga 6000 dan semestinya khusus untuk kegunaan di air masin. Mesin untuk kegunaan air masin lazimnya tertera simbol SW (saltwater).

Sementara tali utama pula saya menggalakkan penggunaan tali sulam (braided) berbanding tali tangsi (mono).

Banyak kelebihan sulam berbanding tali tangsi tetapi tidaklah perlu diulas panjang. Kekuatan tali pula sekitar 30lb atau 40lb.

 

Untuk ke peringkat seterusnya bagi menaik taraf pengalaman memancing, bagi pancingan lebih jauh ke tengah dan perairan lebih dalam sehingga 30 meter, disarankan beralih kepada penggunaan kekili multiplier pula.

Kekili multiplier yang lebih berkuasa bukan saja mampu memikul tugas berat malah tidak memerah tenaga pemancing sebagaimana set spinning.

 

Setelah mahir menggunakan set kekili multiplier barulah boleh melangkah peringkat paling tinggi teknik bottom laut dalam dengan menggunakan set kekili elektrik.

 

Published by
Amang