Saya ada perasan dalam bulan lepas Umpan banyak cerita pasal surfcasting dan bulan ini pancingan muara.
Soalan saya, jika saya memancing di muara sungai bolehkan saya menggunakan teknik yang sama untuk surfcasting?
JAWAPAN:
Ads
Pada asasnya pancingan muara dan pancingan pantai hampir sama seperti pancingan lombong dan tasik.
Bagi muara sungai yang mempunyai persekitaran sama seperti pantai, teknik yang sama masih boleh diamalkan.
Tiada banyak perbezaan muara sungai dan pantai jika kawasan dikunjungi adalah lapang dan memerlukan lontaran jauh ke tengah.
Ads
Kalau sungai itu mempunyai reba di tepi, lontaran berdekatan reba dapat menjana hasil yang lebih positif kerana ikan biasanya akan berada rapat di tebing, atas dasar mengelak
arus kuat dan persekitaran yang dipenuhi reba dan bertubir (drop-off) sesuai untuknya berlindung.
Ads
Namun situasi ini jarang ditemui di pesisir pantai berpasir. Oleh yang demikian, pengunaan joran panjang amat praktikal jika memancing di kawasan pantai kerana ia mampu membuat lontaran jauh ke tengah.
Sementara spesies ikan yang mendiami pesisir pantai berpasir juga berbeza kerana faktor kemasinan air di kawasan ini lebih tinggi berbanding muara sungai.
Oleh yang demikian ada beberapa spesies ikan yang boleh ditemui di kawasan ini tidak terdapat di muara sungai.
Begitu jugalah sebaliknya. Walau bagaimana pun teknik dan umpan banyak persamaannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Jika kita memancing di kawasan lubuk (kawah, lubang, kapal karam atau tukun) sasaran melabuh umpan terbaik adalah di dalam lubuk di mana tempat ikan selalu berkumpul di dasarnya.
Lubuk begini lazimnya lubuk kawah atau lubang yang tiada hadangan di tengah-tengah lubuk.
Namun berbeza jika kita memancing di lubuk yang mana di tengah lubuk terdapat reba, tukun atau kapal karam.
Sudah tentu jika kita melabuhkan umpan di tengah lubuk maka umpan, mata kail dan ladung akan turut sama menjadi tukun.
Jika kita memancing di lubuk sebegini maka sasaran terbaik melabuhkan umpan adalah di bahagian hadapan lubuk.
Seperkara lain lazimnya, ikan-ikan besar sering berada di hadapan dan dalam tukun untuk melakukan serang hendap dan sebagainya.
Lokasi pilihan lain ialah bahagian sisi lubuk sama ada di sebelah kiri atau kanan sisi lubuk. Jangan berada di belakang lubuk kerana kawasan ini terlalu jauh dari zon serangan ikan bersisik.
Kebiasaannya ikan bersisik akan menyerang mangsa dari dalam dan belakang lubuk dengan menerpa arah hadapan di mana terdapat sumber makanan seperti anak ikan yang datang mengikut arus di hadapan lubuk.
Aku ada member, Min… dia ni punya gebang boleh tahan la jugak. Katanya, dia pernah casting dapat ikan puyu guna gewang. Betul ke puyu makan gewang, Min?
JAWAPAN:
Pemancing ni memang ada pelbagai ragam. Ada yang sembang kencang tapi macam tong kosong. Ada juga yang kaki gebang tapi bukan sembang kosong. Contohnya macam member anda itulah. Bagi sesiapa yang tidak mengetahui tabiat pemakanan ikan puyu pasti menganggap ia hanya sembang bikin bimbang.
Untuk mengetahui kebenaran di sebalik kenyataan member anda memperoleh ikan puyu dengan teknik casting menggunakan gewang itu, kita mestilah melakukan sedikit kajian tentang diet ikan puyu.
Ikan puyu ialah haiwan maserba. Maserba membawa erti ikan puyu memakan hampir apa saja makanan. Di habitat asalnya, selain menjadikan tumbuhan akuatik, ikan puyu turut memakan serangga kecil atau moluska. Malah, dalam keadaan terdesak ikan puyu turut bertindak kanibal dengan memakan sesama spesies untuk kelangsungan hidup.
Atau dalam erti kata lainnya, apa saja gewang yang menyerupai diet pemakanan puyu yang melintas di hadapannya, berkemungkinan besar ia akan menyambarnya.
Secara peribadi pula saya tidak pernah casting puyu secara khusus tetapi pernah memperoleh puyu ketika casting haruan. Tidak pasti ia secara kebetulan atau tidak, puyu berkenaan benar-benar menyambar sesudu yang digunakan.
Malah saya pernah juga melihat rakan memperoleh puyu dengan menggunakan gewang mikro dan terbaru, umpan katak yang digunakan oleh seorang rakan untuk casting haruan turut sama berjaya mendaratkan seekor puyu yang agak besar saiznya.
Saya ada dua soalan nak tanya kat admin. Boleh tak admin senarai pendekkan ikan-ikan bersengat yang terdapat di perairan muara? Kedua, betul ke air pasang besar dan arus laju ikan tidak makan umpan?
JAWAPAN:
Memang banyak terdapat spesies muara yang bersengat seperti ikan depu, baji, dengkis, kitang, dengkis dan pelbagai jenis ikan yang jarang dijumpai mempunyai sengat sama ada yang jelas kelihatan atau tersembunyi di sebalik sirip dan badan.
Ikan sembilang, duri, belukang atau jahan memiliki sengat keras terserlah di atas badan, sisi kiri dan kanan. Sengat pari dan ketuka pula terdapat di bahagian ekor sama ada di pangkal, tengah atau hujung ekor.
Ada juga spesies pari seperti pari kebas atau pari serban tidak memiliki sengat tetapi senjata utama ialah getaran arus elektrik dialirkan ke badan yang menyentuhnya. Terdapat juga pari memiliki hanya satu sengat keras dan ada yang mempunyai dua sengat keras di ekor. Ikan lain yang dikategorikan berbisa memiliki sengat atau duri kecil yang tajam di badan (depu dan baji) selain sengat antara sirip dorsal dan sirip pelvik.
Sengat yang berbisa ini tersembunyi berbahaya jika terkena tangan. Pari umpamanya perlu dikendalikan dengan betul. Pastikan sengat dibuang terlebih dulu jika ingin bergambar.
Bagi soalan kedua pula, kebanyakan ikan aktif ketika air pasang dan kawasan yang berarus. Kawasan yang tenang kurang didiami ikan pemangsa kerana sukar mendapat mangsa buruan. Di kawasan terdapat alun atau ombak (bukan jenis yang terlalu besar hingga puluhan kaki) selain anak ikan turut bermain ombak, kumpulan ikan pemangsa (predator) turut mengikuti dari belakang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...