SOALAN:
Salam.. boleh tak tuan kongsi tip memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang? Umpan, perambut dan teknik.
Selalunya saya target ikan alu-alu guna umpan banang… tapi nak dapat banang tu macam mana?
JAWAPAN:
Berdasarkan soalan saudara ini, saya merasakan pengalaman saudara memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang itu sudah mengatasi pengalaman saya.
Oleh yang demikian, saya memilih untuk menjelaskan teknik memancing todak atau banang untuk dijadikan umpan alu-alu, yang merupakan ikan sasaran saudara.
Saya tidak pasti teknik ini berkesan untuk memancing todak di bawah jambatan itu tetapi ia sangat berkesan sewaktu saya memancing di beberapa kelong.
Perkara pertama yang anda perlu cari dahulu ialah umpan untuk todak itu sendiri. Biasanya saya akan akan cari ikan bilis atau tamban kecil dengan menggunakan apollo.
Sebaiknya guna mata apollo saiz 4. Selepas itu saya hanyutkan umpan bilis atau tamban dengan teknik apungan.
Pastikan umpan terapung di permukaan air kerana todak sememangnya gemar menyambar mangsa di permukaan air. Mata kail pula pilihlah mata kail bersaiz kecil, ringan dan tajam.
Sekiranya tiada umpan hidup, ikan tamban yang sudah mati juga boleh digunakan. Ikan tamban tersebut dibersihkan sisiknya terlebih dahulu.
Kemudian ikan tamban itu dibelah dua (hiris memanjang pada tulangnya) dan ambil isinya sahaja sebagai umpan.
Gunalah sekurang-kurangnya 2 mata kail bersaiz kecil bagi mencangkuk umpan ikan itu kekalkan teknik yang sama sebagaimana menggunakan umpan hidup.