Korang Tanya Umpan Jawab -(S6S6)- Teknik pancing belanak??

Share

 

SOALAN:

Boleh tak Team Umpan berikan sedikit teknik untuk memancing ikan belanak untuk dijadikan umpan memancing dan belanak besar (loban) untuk dibuat umpan perut?

 

JAWAPAN:

 

Umumnya, ramai kaki pancing mengenali spesies belanak ini sebagai antara umpan yang efektif untuk memburu spesies predator seperti siakap dan kerapu.

Namun, disebalik keberkesanan dijadikan umpan, mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa ikan belanak ini amat lazat untuk dijadikan hidangan di meja makan (terutama bagi yang bersaiz besar).

Mana taknya, dengan isi yang padat dan berlemak, pastinya ia mampu membuka selera sesiapa sahaja.

 

Belanak sememangnya boleh dipancing tetapi untuk memburu spesies ini bukanlah mudah, terutama bagi spesies belanak bersaiz besar yang turut dikenali dengan nama tamok, jempul dan loban.

Spesies yang bersaiz besar ini dikatakan boleh mencapai berat sehingga 2 kilogram, malah mungkin ada yang lebih besar dari itu.

 

Berbalik kepada teknik pancingan ikan belanak atau jempul, tamok dan loban ini, ada beberapa tips yang telah dikongsikan oleh pemancing-pemancing yang sering menduga spesies ini.

 

Tips Memancing belanak atau tamok

 

– Gunakan set pancing yang ringan (light set). Untuk keseronokan yang lebih, guna joran sekurang-kurangnya 7 kaki dan kekili siri 1000.

– Main line tidak melebihi 12 lbs (dikatakan tali yang lebih halus lebih berkesan untuk memburu spesies ini)

–  Mata kail bersaiz kecil (matakail udang saiz 7 dikatakan paling efektif). Ada pemancing yang menggunakan mata kail yang banyak, sama seperti mata bom atau mata rambai untuk memancing spesies ini.

–   Gunakan pelampung bersaiz kecil dan jarak pelampung dengan mata kail hanya sejengkal sahaja. Di kawasan Port Dickson pemancing menggunakan pelampung perahu layar untuk memancing spesies ini.

–   Umpan yang paling efektif ialah roti (cangkuk pada mata kail).

–   Ada juga yang berpendapat penting untuk merasuah dahulu ikan belanak ini dengan biskut yang telah dihancurkan.

–   Apabila melihat kawanan ikan ini, baling umpan betul-betul dikawasan tersebut.

–   Selain menggunakan umpan dan mata kail, ada juga yang berjaya memperdaya ikan ini menggunakan bom jaring  (bomb net) dan baling pada kawanan belanak tersebut. Pasti ada yang akan tersangkut di jaring itu. Namun dengan cara ini, ianya tidaklah begitu thrill jika dibandingkan memancing menggunakan umpan dan mata kail.

–  Ada juga pemancing yang menggunakan mata tiga untuk memancing ikan belanak ini di kelong kerana kebiasaannya spesies ini amat culas untuk memakan umpan roti yang dihulurkan.

Published by
Amang