Korang Tanya Umpan Jawab (S6S3) – Jangka Hayat Tali pancing?

Share

 

SOALAN:

 

Boleh tak admin jelaskan berapa lama jangka hayat tali sulam dan mono (tangsi) yang sesuai digunakan untuk memancing?

Adakah ia perlu ditukar untuk tempoh tertentu seperti selepas tiga bulan atau enam bulan digunakan.

 

JAWAPAN:

 

Jangka hayat bagi tali pancing sama ada sulam atau mono bergantung kepada beberapa faktor. Antara faktor atau aspek tersebut ialah kekerapan, cara penggunaan, geografi kawasan padang pancing, cara penyimpanan dan tahap kuali tali itu sendiri.

Jika ia kurang digunakan, kurang bergeseran ketika digunakan, cara penjagaan yang sempurna dan berkualiti, maka ia mampu bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya.

 

Saya sendiri masih menggunakan tali pancing yang sudah menjangkau usia lebih sepuluh tahun. Yang penting ialah cara penjagaan serta cara mengesan masalah pada tali pancing yang perlu ditukar.

Antara langkah penjagaan yang sering saya amalkan ialah membersihkan tali selepas digunakan dan tidak menyimpannya di dalam gelendung kekili, sebaliknya dikeluarkan dari gelendung dan disimpan pada bekas simpanan tali yang asal.

 

Terdapat beberapa cara untuk mengesan keadaan tali bagai menilai sama ada ia perlu ditukar atau sebaliknya. Tali pancing perlu ditukar apabila ia tidak licin dan berbulu.

Apabila ia rapuh dan senang putus apabila kita merentapnya. Apabila ia bertukar warna atau luntur warna asalnya dan bila ia mempunyai kesan calar serta tahap kerinting yang melampau (tali mono).

Tali mono akan menjadi kerinting dan kurang sesuai digunakan jika dibiarkan lama berada di dalam gelendung kekili.

Published by
Amang