Boleh tak admin jelaskan bagaimana caranya untuk casting menggunakan udang mati atau udang kopek? Dan ikan apa yang biasanya makan umpan udang kopek ni?
JAWAPAN
Cara casting menggunakan udang mati atau udang kopek sememangnya sinonim dengan pancingan kolam air masin terutamanya bagi menjerat spesies siakap.
Walau bagaimana ia turut berupaya menjerat spesies lain yang terdapat di kolam seperti siakap merah dan juga jenahak.
Ads
Malah teknik ini juga boleh dipraktikkan di muara atau kuala sungai.
Cara menyediakan udang kopek juga mudah. Biasanya udang yang mati akan dibuang kepalanya dan kulitnya akan dikopek.
Bagi membolehkan udang kopek tersebut kekal lurus (tidak bengkok sebagaimana bentuk asalnya), biasanya pemancing akan membungkusnya dalam keadaan lurus dengan surat khabar dan disimpan di dalam ruang sejuk beku peti ais semalaman.
Ads
Apabila ingin menggunakannya, cangkukkan saja mata kail pada bahagian pangkal badannya.
Sebaiknya cangkuk sedikit sahaja mata kail pada pangkal badannya agar ia dapat digerakkan dengan sempurna.
Ads
Selepas itu anda boleh mula mengilat dengan cara lontar ke spot pilihan dan karau perlahan-lahan.
Anda juga boleh guna teknik baling, karau sedikit dan berhenti, kemudian karau perlahan dan berhenti dan seterusnya.
Untuk menambahkan jarak balingan anda boleh menggunakan batu ladung kecil atau batu kapit pada perambut.
Penambahan batu ladung ia juga bagus bagi mempercepatkan jatuhan udang kopek ke dasar bagi memikat ikan yang berlegar di permukaan dasar kolam atau sungai.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya baru saja diracuni oleh rakan-rakan supaya mencuba teknik jigging kerana sebelum ini saya hanya memancing di muara sungai saja. Boleh tak terangkan sedikit persiapan untuk teknik jigging ini?
JAWAPAN:
Tahniah kerana anda berhasrat untuk meningkatkan teknik memancing ke peringkat seterusnya. Namun saya tidak pasti sama ada ada sudah biasa memancing di muara itu menjurus kepada konsep memancing apa.
Sekiranya memancing di muara dengan menggunakan sampan atau bot kecil maka untuk beralih ke jigging tidaklah menjadi sesuatu yang sukar. Tetapi sekiranya lebih banyak memancing di tepian atau menebing, sememangnya banyak persediaan yang perlu dipersiapkan.
Perkara pertama dan utama untuk jigging adalah anda haruslah persiapkan diri dengan situasi memancing di atas bot. Perlu bersedia untuk berhadapan dengan masalah mabuk laut. Sekiranya ia dapat dilalui dengan mudah maka dengan mudah juga anda akan menguasai teknik jigging yang sebenarnya bukanlah sesuatu yang rumit untuk dipelajari.
Persiapan dan tip untuk jigging bergantung kepada beberapa keadaan seperti teknik yang akan digunakan, spesies target dan keadaan lapangan pancing (struktur dan kedalaman air). Secara umumnya, bergantung kepada lokasi dan spesies target, anda boleh mengagak teknik yang akan digunakan seperti slow atau high pitch, light ataupun fast jigging seterusnya menentukan berat dan jenis jig yang perlu disediakan dan kekuatan set pancing yang akan diguna pakai.
Selain itu, sediakan pakaian yang sesuai dan bersedia untuk hadapi cuaca panas terik dan peralatan pancing yang berbeza (yang mungkin belum anda miliki sebelum ini) seperti seperti joran untuk slow jigging dan light jigging, jig untuk slow dan fast jigging, assist hook dan sebagainya.
Persediaan dari segi mental juga amat penting seperti dapatkan tidur yang cukup, makanan seimbang sebelum turun ke laut bagi mengelakkan mabuk dan yang paling penting tanya terlebih dahulu tip daripada tekong yang anda akan gunakan servisnya kerana tekong lebih memahami keadaan lubuk mereka.
Malaysia mengalami musim tengkujuh setiap tahun. Apakah musim tengkujuh juga merupakan faktor dan mempengaruhi spesies ikan di perairan yang mengalami tengkujuh?
JAWAPAN:
Terdapat dua musim atau monsun utama di Malaysia iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya selain dua inter-monsun yang berlaku di antara dua monsun utama tadi. Monsun Timur Laut yang berlaku sekitar November – Januari merupakan monsun yang memberi kesan besar terutama industri nelayan dan memancing di Pantai Timur Semenanjung.
Monsun atau musim tengkujuh ini juga mempengaruhi spesies di perairan terbabit. Permulaan musim, spesies ikan daripada kumpulan mackerel (tenggiri, alu-alu), threadfin (senangin, kurau dan lain-lain) dan juga croaker (gelama) lebih banyak sementara grouper (kerapu) akan berkurang kerana akan bergerak lebih jauh ke tengah laut.
Waktu terbaik untuk memancing akan kembali sekitar April selepas inter-monsun. Waktu ini spesies grouper dan snapper akan kembali menghampiri ke kawasan pantai dan pemancing boleh menikmati aktiviti memancing sehingga Oktober.
Dalam erti kata lainnya, musim tengkujuh akan mempengaruhi habitat ikan serta sedikit tabiat pemakanannya.
Lazimnya, suhu yang jatuh sedikit pada musim tengkujuh (jika hujan berterusan) akan membuatkan ikan kurang aktif memburu makanan. Begitu jugalah dengan aktiviti memancing pada musim tengkujuh perlu berehat seketika. Keadaan laut yang bergelora sama sekali tidak sesuai untuk meneruskan aktiviti memancing.
Saya ada dua perkara yang ingin penjelasan dari admin. Apakah warna tali juga memainkan peranan kalau mancing di kolam berbayar? Dan apakah waktu yang sesuai untuk memancing kolam, sungai dan pantai serta bagaimana memancing di tempat yang mudah tersangkut?
JAWAPAN:
Berkenaan dengan warna tali, saya pernah menjelaskan sebelum ini bahawa warna akan hilang di bawah air selaras dengan spektrum cahaya. Warna merah akan hilang, kemudian oren, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.
Sebagai contoh, hijau di tengah-tengah spektrum yang anda boleh mengharapkan garisan kehilangan warna di mana-mana antara 5 dan 10 meter di bawah air (ujian scuba). Namun bagi pancingan kolam berbayar yang purata kedalamannya sekitar 2 meter sahaja, warna tali tidak memainkan banyak peranan.
Sementara waktu yang sesuai untuk memancing di padang pancing semulajadi pula lazimnya pada awal pagi dan lewat petang menghampiri senja. Sementara di kolam berbayar pula anda boleh memancing tanpa mengira waktu.
Bagi soalan ketiga saudara inilah yang paling susah saya nak jawab, sekiranya saudara memancing di kawasan banyak batu, kayu atau reba saya syorkan tali perambut saudara pendek dan kuat supaya tidak senang tersangkut dan sekiranya tersangkut senang anda mengangkatnya. Kalau boleh cubalah jangan memancing di kawasan yang senang tersangkut sekiranya tak nak putus tali.
Bagi menjimatkan kos batu ladung, boleh gunakan pemberat seperti besi atau spark plug terpakai memandangkan ia lebih jimat berbanding batu ladung timah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...