SOALAN:
Perlu atau tidak kabel disambung pada perambut apabila casting? Tidak kiralah casting di sungai, muara, laut serta ketika trolling? Sekiranya perlu, berapakah saiz kabel dan berapakah panjang kabel yang perlu digunakan?
JAWAPAN:
Tidak kiralah penggunaan di sungai, muara, laut atau trolling, penggunaan kabel atau dawai sebenarnya sebagai insuran terhadap kebimbangan spesies bergigi tajam seperti toman dan tenggiri yang bakal membaham gewang.
Oleh yang demikian, penggunaan kabel ini lebih kepada sasaran ikan yang ingin diburu. Tidak kiralah sama ada di sungai, muara atau laut.
Sekiranya target bukanlah ikan bergigi tajam maka tidak perlulah menggunakan dawai. Malah, bagi casting di sungai khususnya yang tidak terdapat spesies bergigi tajam maka tidak perlulah menggunakan kabel.
Penggunaan kabel akan menjejaskan prestasi renangan gewang. Sebaiknya tidak perlulah menggunakan kabel walau untuk casting toman sekalipun.
Berlainan pula jika anda trolling di lautan. Penggunaan perambut kabel amat penting kerana kita tidak dapat menjangka apakah spesies yang akan menyambar gewang.
Tambah pula potensi spesies yang bakal menyambar terdiri dari spesies bergigi tajam seperti tenggiri dan alu-alu.
Panjang perambut kabel memadai dalam anggaran sejengkal. Sementara saiz kabel bergantung kepada set pancing yang anda gunakan.
Namun disarankan anda menggunakan kabel saiz 30-50lb.