SOALAN:
Saya baru saja diracuni oleh rakan-rakan supaya mencuba teknik jigging kerana sebelum ini saya hanya memancing di muara sungai saja. Boleh tak terangkan sedikit persiapan untuk teknik jigging ini?
JAWAPAN:
Tahniah kerana anda berhasrat untuk meningkatkan teknik memancing ke peringkat seterusnya. Namun saya tidak pasti sama ada ada sudah biasa memancing di muara itu menjurus kepada konsep memancing apa.
Sekiranya memancing di muara dengan menggunakan sampan atau bot kecil maka untuk beralih ke jigging tidaklah menjadi sesuatu yang sukar. Tetapi sekiranya lebih banyak memancing di tepian atau menebing, sememangnya banyak persediaan yang perlu dipersiapkan.
Perkara pertama dan utama untuk jigging adalah anda haruslah persiapkan diri dengan situasi memancing di atas bot. Perlu bersedia untuk berhadapan dengan masalah mabuk laut. Sekiranya ia dapat dilalui dengan mudah maka dengan mudah juga anda akan menguasai teknik jigging yang sebenarnya bukanlah sesuatu yang rumit untuk dipelajari.
Persiapan dan tip untuk jigging bergantung kepada beberapa keadaan seperti teknik yang akan digunakan, spesies target dan keadaan lapangan pancing (struktur dan kedalaman air). Secara umumnya, bergantung kepada lokasi dan spesies target, anda boleh mengagak teknik yang akan digunakan seperti slow atau high pitch, light ataupun fast jigging seterusnya menentukan berat dan jenis jig yang perlu disediakan dan kekuatan set pancing yang akan diguna pakai.
Selain itu, sediakan pakaian yang sesuai dan bersedia untuk hadapi cuaca panas terik dan peralatan pancing yang berbeza (yang mungkin belum anda miliki sebelum ini) seperti seperti joran untuk slow jigging dan light jigging, jig untuk slow dan fast jigging, assist hook dan sebagainya.
Persediaan dari segi mental juga amat penting seperti dapatkan tidur yang cukup, makanan seimbang sebelum turun ke laut bagi mengelakkan mabuk dan yang paling penting tanya terlebih dahulu tip daripada tekong yang anda akan gunakan servisnya kerana tekong lebih memahami keadaan lubuk mereka.