SOALAN:
Apakah tip yang sesuai untuk menentukan saiz mata kail bagi memancing udang galah dan apakah umpan yang sesuai memancing udang galah?
JAWAPAN:
Sebelum kita pergi kepada persoalan tentang mata kail atau umpan untuk memancing udang galah, ada baiknya kita fahami atau kenali udang galah terlebih dahulu dan bagaimana habitat yang sesuai untuk ia hidup.
Udang galah hidup berkelompok dan selalunya terdapat di kawasan yang mempunyai reba atau struktur yang terdapat di dalam sungai.
Sekiranya arus air deras maka mereka akan berselindung di kawasan tepi dan semasa tiada arus atau arus perlahan mereka akan ke tengah sungai.
Udang galah aktif apabila air sungai bersuhu suam dan akan kurang makan apabila air sungai sejuk atau terlampau tawar.
Musim yang paling baik untuk memancing udang adalah pada musim panas atau kemarau.
Udang galah adalah haiwan jenis omnivor iaitu spesies yang makan serba-serbi yang dijumpainya.
Bagi saya, umpan yang saya selalu gunakan adalah udang beras, perumpun,cacing tanah, isi ikan, jantung ayam yang dibakar sedikit dan dihiris, isi ikan kembung, kulit ayam dan ikan longkang.
Atau ikan guppy yang ditangkap dan disimpan dalam kotak plastik selepas saya renjiskannya dengan sedikit belacan dan dibekukan selama sehari dua (Ini resipi saya sendiri).
Boleh dikatakan udang galah akan makan serba jenis benda yang berdaging yang berbau.
Untuk mata kail pula saya selalu menggunakan mata kail no 2 hingga 6 kerana saiz ini paling sesuai di mana adakala saya pakai jenis berduri dan ada masa jenis tidak berduri.
Apa yang penting mata kail itu mestilah tajam. Namun mata kail kegemaran saya adalah no 6 walaupun ia kecil namun berupaya untuk menjerat dari sekecil-kecil udang hinggalah jenggo seberat 400gm.
Satu lagi tip yang saya hendak berikan adalah supaya menggunakan ‘burley’ atau rasuah untuk memikat udang datang kepada saya.
Caranya gunakan makanan kucing yang basah yang dijual di kedai di dalam tin ataupun paket.
Saya akan membuatkan lubang pada tin atau paket dan meletaknya di bawah bot atau sampan.