SOALAN:
Sebenarnya saya belum faham apa makna gear ratio yang terdapat pada mesin kekili. Boleh admin berikan penjelasan secara ringkas?
JAWAPAN:
Secara ringkasnya, gear ratio yang tercatat pada mesin kekili membawa makna nisbah pergerakan putaran atau pusingan gear di dalam kekili (satu kayuhan lengkap) berbanding putaran gelendung atau spool kekili.
Contohnya jika kekili itu menyatakan gear ratio 4.8:1 maka ia membawa maksud satu pusingan kayuhan lengkap, gelendung akan berpusing sebanyak 4.8 kali.
Jika gear ratio 6.3:1 maka ia membawa maksud satu pusing kayuhan lengkap, gelendung akan berpusing sebanyak 6.3 kali.
–> 1 putaran pengayuh = 4.8 putaran gelendung
–> 1 putaran pengayuh = 6.3 putaran gelendung
Dalam erti kata lainnya, semakin besar nisbah semakin laju kemampuan kekili berkenaan mengulung kembali tali ke dalam gelendungnya.
Sebagai tambahan, kita harus faham pula kenapa ada kekili dengan gear ratio rendah, sederhana dan tinggi?
Sistem gear ratio ini memberitahu kita tentang kuasa yang terdapat pada kekili tersebut tidak kiralah ia kekili menegak mahapun mendatar.
Pada masa yang sama ia berperanan menentukan kesesuaian kekili dengan teknik pancingan yang ingin kita praktikan.
Gear ratio ini jika hendak dibuat perbandingan, ia samalah seperti transmisi atau gear motosikal. Gear ratio rendah umpama gear 1-2 yang mana ia lebih berkuasa untuk menggerakkan motor.
Sementara gear ratio tinggi pula umpama gear 4-5 yang lebih khusus untuk kelajuan.
Atau dalam erti kata lainnya, kekili dengan ratio rendah lebih sesuai untuk pancingan menarik beban yang lebih seperti menggunakan gewang selaman dalam, manakala gear ratio tinggi untuk pancingan karauan laju seperti menggayakan gewang permukaan.