SOALAN: Saya ingin bertanya adakah air, ombak dan cuaca menjadi penentu untuk seorang kaki pancing itu mendapat ikan.
JAWAPAN: Dalam memancing, tentu saja faktor air merupakan perkara utama yang perlu difikirkan. Tak kiralah sama ada pancingan di laut, sungai, tasik atau lombong, apa-apa perubahan pada sifat atau suhu air akan mempengaruhi penghuninya (ikan) dari aspek keaktifan dan kesihatannya. Bila ikan tidak aktif maka umpan yang digunakan untuk memancingnya sudah pasti tidak akan disentuh dan kita akan pulang dengan kecewa.
Begitu juga dengan proses pasang surut air laut. Perubahan pasang surut air laut amat penting malah boleh menjadi faktor dalam hasil tangkapan. Faktor pasang surut air bergantung pada tarikan graviti bulan. Ini kerana ada sesetengah ikan amat aktif mencari makan ketika air surut dan sesetengah lagi ketika air pasang. Dan ada juga ikan yang pasif ketika air surut dan sebaliknya ketika air pasang.
Keadaan angin pula mempengaruhi keadaan ombak. Apabila angin bertiup kencang yang menyebabkan ombak besar, ikan-ikan kecil akan pergi ke kawasan yang lebih terlindung. Oleh yang demikian, ikan-ikan besar yang menjadikan ikan-ikan kecil ini sebagai diet pemakanan mereka akan turut ke kawasan yang lebih terlindung kerana memburu ikan kecil. Jika keadaan hujan pula, ikan akan cenderung pergi lebih ke arah laut kerana saliniti air berkurangan di pantai akibat hujan. Sebaik-baiknya, lihat cuaca dan jadual pasang surut air sebelum memancing.