KORANG TANYA UMPAN JAWAB (S23S29) – Apa itu kandang sotong?@

Share

SOALAN:

Boleh tak admin jelaskan apa yang dimaksudkan dengan kandang sotong?

 

JAWAPAN:

Jika anda atau sesiapa saja yang pernah pergi mencandat sotong pasti pernah mendengar istilah kandang sotong yang disebut tekong. Kadang-kadang, anda pun tak kisah pun sebenarnya yang disebut oleh tekong, tahu-tahu bila bot berlabuh, terus sahaja hulur mata candat ke bawah dengan harapan berjaya mendapatkan sotong.

 

Kandang sotong bukanlah tempat nelayan memelihara sotong tetapi ia satu istilah yang digunakan oleh pencandat tempatan bagi menerangkan lokasi sotong berkumpul dan bertelur. Jika sesiapa berjaya menjumpai kandang sotong, maka peluang untuk mendapatkan sotong dalam jumlah yang banyak sangat cerah.

 

Pada musim sotong antara April hingga Oktober, sotong torak, sotong jarum, dan sotong ketupat akan menghampiri perairan pantai timur untuk mengawan dan bertelur. Selalunya sotong akan memilih kawasan pasir kerana kawasan ini lebih cetek dan cahaya matahari boleh sampai ke dasar laut. cahaya matahari yang cukup dapat membantu telur sotong untuk menetas.

 

Selepas mengawan dan bertelur sotong mempunyai tabiat makan yang agresif. Sotong yang sudah bertelur kerap menggigit antara satu sama lain. Terdapat tiga cara yang biasa digunakan oleh nelayan tempatan bagi mencari kandang sotong.

 

  1. Meninjau dengan cara mencandat – Jika terdapat beberapa ekor sotong berjaya di candat, maka bot akan dilabuhkan.

 

  1. Mencari telur sotong – Cara ini menggunakan candat bersaiz besar untuk mengait telur di dasar laut. Proses dijalankan beberapa kali. Jika terdapat telur yang tersangkut, maka nelayan akan melakukan proses pertama sebelum bot dilabuhkan. Ada juga telur sotong yang dikesan tersangkut pada sauh bot.

 

  1. Mencari kumpulan pencandat – Cara ini lebih mudah iaitu bot akan bergerak dan menghampiri kumpulan pencandat yang sedang berkumpul. Jika waktu malam kumpulan candat mudah dikesan dengan kehadiran lampu-lampu kalimantang dan sportlight.

 

Setiap tahun, kawasan kandang sotong akan berubah-ubah mengikut pembentukan serta kehadiran pasir di dasar laut. Walau bagaimanapun, kedudukan kandang tidaklah beralih terlalu jauh. Bagi nelayan yang mahir, mereka dapat mengagak lokasi kandang yang ingin dicari.

Published by
Amang