SOALAN:
Saya ingin membuat apollo sendiri. Boleh tak admin cadangkan apakah warna benang yang sesuai?
Berapa jarak perambut anak antara satu sama lain serta panjang apollo? Perambut anak berapa paun dan perambut utama berapa paun?
JAWAPAN:
Tahniah kerana anda mempunyai minat membuat sendiri apollo yang jarang dilakukan oleh kebanyakan pemancing.
Boleh dikatakan ramai pemancing lebih senang membelinya sahaja di kedai-kedai pancing. Malah admin sendiri pun tidak pernah melakukannya walaupun memiliki sedikit pengetahuan untuk melakukannya.
Namun tidak menghampakan semangat anda, admin akan berkongsi pengetahuan melakukan sendiri perambut apollo ini.
Pada pendapat admin, ada dua warna benang paling efektif dijadikan perambut mata apollo iaitu hijau dan putih.
Ini merupakan dua warna asas yang kebanyakkannya digunakan pada apollo yang dijual di kedai pancing.
Sementara mata kail yang kebanyakan diguna pakai ialah mata kail jenis batang atau teras panjang (long shank).
Saiz mata kail pula bergantung kepada jenis ikan yang ingin dipancing. Manakala jarak panjang perambut anak dengan perambut utama pancing apollo ialah 8 hingga 14sm.
Sekiranya anda menghasilkan anak perambut sepanjang 8 sm maka jarak di antara anak perambut dengan anak perambut lainnya sekurang-kurangnya 16 sm bagi mengelak anak perambut bercantum antara satu sama lain.
Manakala untuk tali perambut yang digunakan untuk menghasilkan anak perambut apollo ialah 12 paun hingga 15 paun, manakala perambut utama 20 hingga 30 paun.
Atau anda boleh tentukan sendiri dengan syarat tali anak perambut mestilah lebih halus daripada tali perambut.