SOALAN:
Boleh tak admin bagitau waktu bila sesuai memancing udang galah dan berikan sedikit tip untuk memancingnya?
Saya sudah beberapa kali mencuba tetapi masih lagi kumpau! Langsung tak pandai nak tengok sama ada udang dah mengena atau belum.
JAWAPAN:
Memancing udang galah boleh dilakukan sepanjang masa kecuali pada musim tengkujuh. Pada musim tengkujuh ataupun musim banjir adalah tidak sesuai memancing udang galah kerana paras air yang terlalu tinggi, aliran air yang deras serta keadaan air yang sejuk.
Masa yang paling sesuai atau cantik ialah ketika musim panas terutamanya selepas 3-5 hari tanpa hujan. Ketika ini air sungai menjadi suam dan itu akan mendorong udang galah aktif keluar mencari makan.
Rasanya dalam posting berkenaan udang galah sudah banyak diberikan panduan. Untuk mengetahui sesuatu lokasi itu berpotensi atau tidak, umpan perlu selalu diperiksa pada mata kail.
Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, perlulah mengangkat joran untuk mempastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
Jika selepas 15-30 minit masih tiada isyarat udang memakan umpan, kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu mencari lain atau baru.
Memancing udang galah sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Banyak perkara yang anda perlu pelajari dan cara terbaik untuk memperoleh ilmu ini ialah dengan berguru. Carilah seorang otai pancingan udang galah dan ikutilah trip memancing bersama-sama.
lagi soalan tentang udang galah