SOALAN:
Saya ingin bertanya tentang memancing udang galah. Boleh tak terangkan teknik-teknik memancing udang galah, umpan yang sesuai dan kawasan persembunyiannya?
JAWAPAN:
Sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya memancing udang galah, hanya ada dua teknik sahaja yang dipraktikkan iaitu teknik dasar dan teknik apungan.
Walau bagaimana pun teknik apungan ini hanya sesuai diaplikasikan di kolam memancing udang galah komersial sahaja. Ia kurang sesuai untuk memancing udang galah di habitat asalnya.
Bagi memancing udang galah, teknik dasar merupakan teknik yang paling popular di mana-mana sahaja.
Namun, bersesuaian dengan pancingan udang, peralatan yang digunakan haruslah juga sepadan.
Set pancingan udang galah memerlukan joran rod yang lebih halus dan mata kail khas untuk udang.
Tali utama pula lebih baik jika menggunakan tali sulam atau braided berkekuatan sekitar 6-8lb bagi mengelakkan mudah diputuskan buntal.
Begitu juga dengan bekas tangkapan udang hidup. Pilih dari jenis dawai dan elakkan dari menggunakan jenis benang kerana ia mudah dikerjakan buntal.
Umpan pula anda boleh gunakan cacing, umpun-umpun atau udang beras. Sesetengah lokasi sungai, umpan hirisan ikan, anak ikan gapi atau hirisan jantung ayam yang lebih sinonim dengan pancingan kolam juga boleh digunakan.
Anda juga boleh gunakan hirisan hati lembu, pedal ayam dan sebagainya.
Kawasan memancing udang biasanya tertumpu pada sistem sungai berair payau sekitar pokok nipah sehinggalah ke bahagian air tawar.
Sempadan air ini boleh dilihat dengan hasil pancingan. Jika anda kerap mendapat ikan gelama, itu tandanya air di perairan berkenaan masin dan wajar berpindah ke kawasan yang lebih ke hulu.