Korang Tanya Umpan Jawab -S10S17- Kenapa ikan Sungai Pahang Mahal??

Share

 

SOALAN:

Soalan saya ini bukanlah macam soalan yang biasa ditanya tetapi lebih kepada kemusykilan.

Sebagai kaki pancing saya hairan, apa yang hebat dan istimewanya rasa ikan-ikan Sungai Pahang hinggakan hampir kesemua ikan yang hidup di sungai itu jauh lebih mahal berbanding tempat lain?

 

JAWAPAN:

Izinkan saya menjawab soalan ini dengan satu perbandingan. Tahukah anda daging lembu termahal di dunia berasal dari Jepun.

Daging lembu Kobe adalah berbeza kerana tekstur dagingnya yang halus dan amat lembut. Secara teknikalnya, daging lembu Kobe merujuk kepada daging lembu Wagyu yang dibesarkan dan disembelih di daerah Kobe, Jepun.

 

Lembu-lembu di sini di ternak di bawah keadaaan yang dimanjakan dengan urutan khas dan muzik. Makanan lembu-lembu ini di kawal ketat dan dari gred terbaik sahaja.

Malah ada penternak lembu tersebut di China yang memberi lembu-lembu mereka bir dan sake dan lembu-lembu itu mempunyai masa santai 10 jam dengan muzik dimainkan untuk mereka setiap hari.

 

Kini, lembu jantan Wagyu dipelihara di Amerika Syarikat dan Australia dan daging gaya Kobe mungkin berharga AS$300 sekilogram (RM1,251).

Teknik ternakan yang teliti pada haiwan itu seperti memberi urutan selain diperdengarkan lagu antara faktor yang menyebabkan lembu wagyu hidup sihat dan kurang tekanan.

 

Dengan diet terpilih, semua regim itu menyebabkan daging lembu wagyu dikatakan lebih lembut, kaya dengan rasa dan berjus. Di Jepun, harga untuk 150 gram daging lembu wagyu mencecah AS$500 (RM2,085)!

Tak gila ke namanya daging lembu sampai RM13,900.00 sekilogram? Padahal ia cuma lembu je kot.

 

Begitulah keadaannya ikanlah. Ia adalah sesuatu yang subjektif untuk dijelaskan. Walau bagaimana pun saya bersetuju dengan kenyataan anda bahawa ikan-ikan di Sungai Pahang memang mahal sedikit berbanding harga di tempat lain.

 

Mungkin faktor air dan jenis diet ikan yang terdapat di Sungai Pahang jauh lebih berkualiti berbanding sungai di tempat lain. Ambil contoh Sungai Klang dan Sungai Gombak… berapa sangat harga ikan patin dari sungai-sungai ini.

 

Published by
Amang