SOALAN:
Saya mula berminat memancing dengan teknik jigging sejak melihat video di Youtube dan TV. Tapi tak pernah dapat ikan dengan teknik itu.
Banyak barang untuk jigging saya beli dan mempraktikkan di laut, tapi tiada hasil. Saya kerap turun memancing di tempat saya di Kuantan.
Sedangkan bila menggunakan teknik bottom banyak ikan yang saya perolehi. Boleh bagi sedikit tunjuk ajar bagaimana nak mendapatkan ikan dengan teknik jigging.
JAWAPAN:
Teknik jigging merupakan teknik memancing yang biasa dilakukan di kedalaman sekitar 20 – 150 meter (kini menerusi teknik jigging perlahan sudah menjangkau kedalaman sehingga 400 meter).
Teknik jigging merupakan teknik memancing yang menggunakan metal jig yang dihulurkan ke dalam air dan mengerakkan nya secara vertikal di mana jig tersebut menyerupai ikan
yang sakit atau umpan yang berenang untuk menarik perhatian ikan predator untuk memakan nya.
Pemilihan jenis jig serta pergerakan amatlah penting sekiranya kita nak ikan menyambar jig kita, saya syorkan saudara menggunakan jig seberat 30 hingga 80 gram sekiranya memancing di kawasan perairan Kuantan.
Cuba menggunakan jig berbentuk ikan atau sotong dan sekiranya memancing pada waktu malam cuba cari jig yang lut sinar (luminous).
Pergerakan anda memainkan peranan yang penting, jig dengan pantas atau perlahan akan terpulang pada keadaan. Cuba dua cara iaitu cara pantas dan perlahan.
Apa yang penting adalah ketepatan Tekong bot melabuhkan bot di atas gerombolan ikan. Jangan putus asa kerana bukan senang untuk menipu ikan untuk makan umpan besi.
Untuk tip jigging selanjutnya anda boleh layari portal memancing di www.umpan.com.my