SOALAN:
Boleh tak admin jelas apa maksud sistem tagal yang ada di Sabah? Apa kelebihan sistem tersebut dan kenapa hanya di Sabah je ada tagal ni?
JAWAPAN:
Tagal atau lebih tepat lagi sistem tagal merupakan satu pendekatan tradisional penduduk Sabah dalam memulihara sumber perikanan sungai.
Melalui sistem ini, tiada sesiapapun dibenar menangkap ikan di kawasan sungai tertentu yang ditagalkan.
Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan sogit (denda) oleh Ketua Kampung atau Ketua Daerah berdasarkan Enakmen Perikanan Darat & Akuakultur Sabah 2003.
Tagal adalah perkataan dalam bahasa Dusun yang membawa pengertian iaitu JANGAN tetapi lebih tapi dan sesuai adalah ‘DITEGAH DENGAN SUMPAH’.
Kaedah tagal ini pada asasnya diaplikasikan oleh nenek moyang kaum Dusun untuk melarang agar tidak mengambil milik mereka seperti buah-buahan dan sebagainya dengan
cara menanda dengan memacakkan sebatang kayu yang hujungnya ditajamkan dan menghala ke kawasan larangan tersebut.
Kaedah ini telah diguna pakai secara turun temurun sebagai tanda larangan dan tanda tersebut sangat dihormati oleh kaum Kadazan Dusun.
Sistem tagal telah diadaptasikan oleh masyarakat Dusun sebagai penguatkuasaan penjagaan hidupan sungai kerana maksud perkataan TAGAL sangat mudah difahami oleh
masyarakat Kadazan Dusun dan telah terbukti hanya penguatkuasaan sistem tagal sahaja yang dapat memulihkan kembali populasi ikan yang semakin berkurangan di sungai-sungai Sabah.
Sistem tagal di Sabah ini merupakan satu sistem perkongsian pintar antara masyarakat kampung dengan pihak Jabatan Perikanan Sabah dalam hal perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan.
Selain itu sistem tagal turut menjana pendapatan baru kepada masyarakat luar seperti eko pelancongan, sukan memancing dan sebagainya.
Peranan masyarakat kampung Jabatan Perikanan Sabah dalam usaha pembangunan sistem tagal adalah wewujudkan jawatankuasa tagal di kampung yang mempunyai sungai.
Ia bertujuan melindungi dan mengurus alam sekitar sungai dan sumber perikanan sungai di kampung / zon masing-masing.
Hasil penuaian ikan yang dijalankan sekali atau dua kali setahun akan disecara sama rata di kalangan masyarakat di kampung masing-masing dan yang dituai juga dijual kepada umum untuk sumber kewangan jawatankuasa tagal di perangkat kampung tersebut.
Sesuatu yang perlu difahami, segala penangkapan kehidupan sungai dalam sungai yang telah ditagal adalah dilarang sama sekali jika tidak mencapat keizinan dari pihak jawatankuasa.
Individu yang didapati melanggar undang-undang menangkap kehidupan sungai tanpa izin atau mencemarkan sungai akan didenda.