Boleh tak admin terangkan ‘line capacity’ yang biasanya tertera pada spesifikasi produk reel atau kekili?
JAWAPAN:
Line Capacity – Istilah ini merujuk kepada panjang tali pancing (mono atau braided) yang boleh dimuatkan dalam gelendung kekili (spool). Kebanyakan reel terdahulu hanya
menyatakan kekuatan (lbs) dan panjang (yard/meter) yang boleh dimuatkan dalam spool berpandukan tali tangsi (mono).
Ads
Kini, semakin banyak pula menyatakan berapa panjang tali yang boleh dimuatkan berdasarkan ukur lilit atau diameter tali tersebut, yang merujuk kepada penggunaan tali sulam atau braided.
Semakin halus diameter, maka semakin banyaklah muatan tali yang boleh disimpan di dalam gelendung.
Ads
Terdapat beberapa jenis informasi yang biasa dicatatkan pada kekili atau kotak kekili iaitu lb/yd, lb/m atau dia/m.
Untuk ib/yd (pound/yard) ia membawa makna kekuatan tangsi dalam pound dan panjang yang boleh diisi dalam yard atau ela.
Ads
Tali yang dimaksudkan di sini ialah tali mono, bukannya tali sulam kerana lazimnya tali mono mempunyai diameter yang sama. Sebagai contoh, 10/110 membawa maksud tali mono 10lb dapat dimuatkan sebanyak 110 yard/ela di dalam spool.
Begitu juga dengan kiraan lb/m. Sebagai contoh 10/100, tali mono 10lb boleh dimuatkan sebanyak 100meter di dalam spool.
Manakala dia/m pula merujuk kepada ukurlilit tali (mono atau braided, lazimnya lebih merujuk kepada tali braided) yang boleh dimuatkan dalam meter.
Umpamanya 0.5/200 bermaksud saiz tali berdimater 0.5mm boleh diisi sepanjang 200meter di dalam spool kekili.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Boleh tak admin jelaskan bagaimana caranya untuk casting menggunakan udang mati atau udang kopek? Dan ikan apa yang biasanya makan umpan udang kopek ni?
JAWAPAN
Cara casting menggunakan udang mati atau udang kopek sememangnya sinonim dengan pancingan kolam air masin terutamanya bagi menjerat spesies siakap. Walau bagaimana ia turut berupaya menjerat spesies lain yang terdapat di kolam seperti siakap merah dan juga jenahak. Malah teknik ini juga boleh dipraktikkan di muara atau kuala sungai.
Cara menyediakan udang kopek juga mudah. Biasanya udang yang mati akan dibuang kepalanya dan kulitnya akan dikopek.
Bagi membolehkan udang kopek tersebut kekal lurus (tidak bengkok sebagaimana bentuk asalnya), biasanya pemancing akan membungkusnya dalam keadaan lurus dengan surat khabar dan disimpan di dalam ruang sejuk beku peti ais semalaman.
Apabila ingin menggunakannya, cangkukkan saja mata kail pada bahagian pangkal badannya. Sebaiknya cangkuk sedikit sahaja mata kail pada pangkal badannya agar ia dapat digerakkan dengan sempurna. Selepas itu anda boleh mula mengilat dengan cara lontar ke spot pilihan dan karau perlahan-lahan.
Anda juga boleh guna teknik baling, karau sedikit dan berhenti, kemudian karau perlahan dan berhenti dan seterusnya.
Untuk menambahkan jarak balingan anda boleh menggunakan batu ladung kecil atau batu kapit pada perambut.
Penambahan batu ladung ia juga bagus bagi mempercepatkan jatuhan udang kopek ke dasar bagi memikat ikan yang berlegar di permukaan dasar kolam atau sungai.
Boleh tak admin beri penjelasan sedikit tentang kotak penyejuk untuk menyimpan ikan.
Kotak penyejuk jenis mana yang lebih sesuai, sama ada berengsel atau penutup boleh cabut atau cerai. Berapa lama ketul ais boleh tahan dalam setiap kotak penyejuk dan jenis ais macam mana yang sesuai untuk menyimpan ikan?
JAWAPAN:
Padu betul soalan ni. Sebenarnya kedua-dua jenis kotak penyejuk yang disebutkan itu boleh digunakan asalkan ia memenuhi keperluan kita terutama jika dilihat dari sudut kos mampu milik.
Tetapi dari segi penggunaan kotak yang mampu menahan ais daripada cepat cair adalah yang baik.
Namun yang berengsel lebih elok kerana penutup boleh cerai mudah hilang atau melayang ditiup angin ketika atas bot.
Ais kalau benar-benar masak (dibekukan dalam tempoh yang cukup) boleh bertahan sehingga seminggu jika kekerapan buka-tutup kotak penyejuk adalah minimum dan tidak terdedah kepada persekitaran yang panas.
Ini berdasarkan pengalaman saya membawa seketul ais kiub sebesar 54 liter. Trip memancing selama lima hari di kawasan pedalaman hulu sungai.
Sewaktu pulang baki ais yang beku berkurang kira-kira 20liter dan masih mencukupi untuk kami menyejukkan ikan untuk dibawa pulang ke ibu kota.
Bot nelayan pula mampu menyediakan bekalan ais yang cukup untuk dua minggu di laut dengan syarat disimpan dalam bekas yang kedap udara.
Terdapat empat jenis ais yang biasa digunakan iaitu jenis kuib besar, ais mesin atau kisar, ais kiub berongga serta ais tiruan (bahan kimia atau air disimpan dalam bekas tertutup).
Paling sesuai ialah ais kisar kerana ia boleh menjimatkan ruang dan boleh dipadatkan.
Assalamualaikum boh… ada tips untuk pancingan tasik atau lombong tak? Umpan apa yang killer? Percentage nak dapat ikan dekat tempat luas ni kuranglah boh.
Boleh bagi tips nak naikkan percentage tu tak?
JAWAPAN:
Wasalam boh. Sebagaimana luasnya tempat luas yang anda katakan itu tidaklah seluas soalan yang anda kemukakan ini.
Oleh yang demikian saya mampu menjawab secara umum sahaja kerana untuk menyatakan umpan killer bagi setiap spesies ikan yang ada di dalam tasik atau lombong sememangnya tak terjawab.
Untuk mengetahui umpan apa yang sesuai apatah lagi killer, pertama sekali anda perlu mengetahui ikan apa yang ada di padang pancing (tasik atau lombong) terlebih dahulu dan ikan apa yang anda ingin sasarkan.
Sebagai contoh, jika padang pancing itu banyak didiami ikan patin dan anda ingin memancing patin, maka gunalah umpan lazim yang digunakan untuk memancing patin seperti dedak atau buah-buah hutan.
Sekiranya terdapat ikan pemangsa seperti toman, sebarau atau peacock bas maka gunalah diet ikan-ikan tersebut sebagai umpan atau juga umpan tiruan.
Bagi meningkatkan percentage dapat ikan, banyak perkara yang perlu anda lakukan. Antaranya, anda perlulah mengetahui lubuk kediaman ikan.
Memahami waktu aktif ikan mencari makanan. Mencuba kepelbagaian teknik sama ada pancingan dasar, apungan ataupun mengilat.
Peralatan pancing yang sepadan dan tepat. Serta penggunaan dan persembahan umpan yang memikat. Sekiranya kesemua aspek ini dipraktikkan berserta semangat yang jitu, percentage anda untuk memperoleh hasil pasti meningkat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...