Korang Tanya Umpan Jawab – Peraturan & Syarat Mancing Kolam Berbayar?

Share

 

SOALAN:

Saya masih baru di Semenanjung dan tinggal di Selangor. Saya berminat nak memancing di kolam pancing bayar. Boleh tak ceritakan sedikit peraturan memancing di kolam?

 

Jawapan:

 

Sebagai makluman, biar kami jelaskan kategori kolam pancing berbayar atau kolam pancing komersial terlebih dahulu.

Kolam pancing komersial terbahagi kepada dua kategori iaitu kolam air masin dan kolam air tawar. Dan kedua-duanya mengamalkan konsep yang agak berbeza.

 

Bagi kolam pancing air tawar terbahagi kepada beberapa konsep; konsep berlauk, konsep pancing dan timbang, konsep bayar balik duit ikan, konsep ranking dan jackpot dan konsep tangkap dan lepas sepenuhnya.

Bagi konsep berlauk ia lebih konsep konvensional iaitu bayar yuran memancing untuk beberapa jam dan hasil tangkapan boleh dibawa pulang sepenuhnya.

 

Konsep pancing dan timbang pula pemancing akan dikenakan yuran memancing rendah (contoh: RM10 untuk sehari) dan sekiranya ingin membawa pulang ikan yang dipancing akan dikenakan caj bayaran tertentu (contoh; tilapia RM5 per kilogram).

 

Konsep pancing bayar balik duit ikan pula lebih kepada konsep tangkap dan lepas, pemancing tidak boleh membawa pulang ikan dan perlu membayar yuran memancing

(contoh RM 30 untuk 3 jam) namun setiap tangkapan pemancing akan ditimbang dan akan dibayar (contoh patin RM 1 per kilogram).

 

Konsep ranking dan jackpot juga konsep pancingan tangkap dan lepas, pemancing tidak boleh membawa pulang ikan dan perlu membayar yuran memancing (contoh RM30 untuk 6

jam), dan sekiranya hasil tangkapan merupakan ikan terberat dalam senarai ranking tangkapan atau mencapai sasaran maka bonus atau hadiah wang tunai dalam kadar tertentu akan diberikan kepada pemancing.

 

Sementara konsep tangkap dan lepas sepenuhnya lebih kepada konsep sport fishing yang mana pemancing perlu membayar yuran untuk memancing ikan sukan atau game fish (contoh RM100 untuk 3 jam) dan tidak akan menerima sebarang imbuhan.

 

Begitu juga dengan pancingan kolam air masin, peraturan dan syarat mungkin berbeza namun konsepnya tidak jauh berbeza.

Yang penting, sebelum memancing di mana-mana kolam, ada baiknya korang fahami dulu peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak kolam.

Published by
Amang