Korang Tanya Umpan Jawab – Pemilihan Gewang Untuk Target Sebarau?

Share

 

SOALAN:

Bagaimana cara untuk memilih jenis gewang yang sesuai mengikut lokasi padang pancing terutamanya di sungai pedalaman bagi memburu sebarau?

 

JAWAPAN:

Jika hendak menceritakan perihal kesesuaian gewang dengan lokasi ini terlalu banyak untuk diperkatakan. Jadi, saya rumuskan sedikit perihal gewang supaya dapat meleraikan persoalan yang bersifat umum.

 

Asas utama mengggewang ialah kita perlu mengenali spesies buruan. Sebarau yang diketahui mendiami sungai, empangan dan tasik boleh membesar sehingga 4 kilogram

(satu saiz yang jarang sebarau dapat mencapai tahap ini kerana masalah lampau tuai). Saiz yang lumrah diperdaya dengan gewang adalah 500gm hingga 1.5kg.

 

Untuk sebarau 200gm hingga 500gm, cuba gewang kecil 5cm atau dipanggil gewang mikro tanpa mengira jenama. Contohnya, Rapala Tail Dancer, Countdown, Fat Rap, X-Rap atau Skitter Pop. Gewang-gewang ini sememangnya sinonim dengan buruan sebarau.

 

Set pancing aksi ringan paling sesuai digunakan. Perhatikan struktur tempat ikan bermain. Kalau air cetek, guna gewang selaman cetek atau permukaan manakala air dalam guna gewang selaman dalam seperti jenis minnor.

 

Warna gewang turut memainkan peranan terutama warna yang seakan ikan sasaran. Warna oren mendominasi pilihan pemancing kerana ia seakan warna anak toman atau haruan.

Sebarau memang pantang melihat anak toman. Justeru, warna gewang oren, merah atau emas mudah dan cepat disambar mangsa.

 

Bagaimanapun warna kekuningan turut menarik minat sebarau asalkan kena pada tempat dan waktunya. Seni lontaran, gaya karauan dan halaju karaun gewang turut memainkan peranan meningkatkan sambaran.

Jangan terlalu banyak melontar tanpa arah tujuan (blindcast) kerana bimbang akan menakutkan ikan serta memberi impak terhadap minat ikan menerjah gewang.

 

Tetapi yang penting, kalau kita pergi trip memancing seboleh-bolehnya jangan hanya membawa satu gewang.

Cuba bawa beberapa jenis dengan kombinasi dan warna berlainan. Buat penilaian melalui pengalaman sendiri (cabang ilmu yang terbaik dari sumber yang kita boleh percayai 100%). Kalau dengar cerita orang lain tentu lebih hebat dari apa yang sebenarnya berlaku!

Published by
Amang