Saya selalu berhadapan masalah untuk strike siakap. Maksud saya… apabila sudah strike, mata kail mudah terlucut. Boleh tak admin beri sedikit tips untuk mengatasi masalah ini?
JAWAPAN:
Melakukan sentapan balas selepas ikan membuat larian adalah praktikal. Kebiasaannya pemancing akan membenarkan umpan digonggong ikan seketika, kemudian apabila tali pancing menegang menandakan umpan mungkin mula ditelan ikan.
Ads
Mata kail terlucut kebiasaannya berpunca daripada beberapa sebab. Pertama, saiz mata kail yang kurang sesuai. Kes di sini mata kail adalah kecil berbanding mulut ikan (siakap). Saiz dicadangkan adalah 3/0 atau 4/0.
Kedua, mata kail terlalu besar untuk mulut ikan. Kemungkinan kes ini adalah mustahil kerana saiz 2/0 memang muat untuk siakap sekecil 500 gram. Ketiga, mata kail kurang tajam.
Mata kail tidak akan kekal tajam buat selama-lamanya. Kesan cucukan kepada umpan dan sebagainya boleh menyebabkan mata kail tumpul. Pastikan mata kail tajam setiap kali memancing.
Ads
Keempat, terlalu cepat merembat umpan kerana ikan mungkin hanya menggonggong ketika melarikan umpan. Bagi masa lama sedikit supaya umpan betul-betul berada sepenuhnya dalam mulut ikan.
Ads
Kelima, teknik pasang umpan. Jika cangkok di bahagian ekor kurang menjadi cuba pasang mata dekat bahagian kepala udang. Jika menggunakan isi ikan, pastikan mata kail menembusi kulit isi ikan yang kadangkala mata kail gagal menembusi kulit isi ikan berkeadaan apabila disambar siakap.
Boleh tak ikan yang biasa dipancing dengan menggunakan gewang (casting) seperti peacock bass dan sebarau dipancing dengan cara biasa? Jika boleh, apa umpan yang sesuai digunakan?
JAWAPAN:
Jika dipancing dengan cara biasa yang anda maksudkan itu ialah pancingan dasar atau bottom fishing, jawapannya ialah boleh.
Secara umumnya, apa saja spesies ikan yang menyambar gewang boleh dipancing dengan teknik konvensional ini. Ini kerana konsep asal penciptaan gewang adalah meniru morfologi dan aksi ikan, udang atau serangga yang menjadi diet sebenar ikan-ikan pemangsa ini.
Sebaliknya ada beberapa spesies ikan yang boleh dipancing dengan teknik konvensional ini tidak boleh dipancing dengan menggunakan gewang.
Selain pancingan dasar menggunakan pemberat, ikan sebarau dan peacock bass juga boleh dipancing dengan teknik apungan. Atau lebih mudah untuk difahami dengan menggunakan pelampung sama ada kekal di suatu tempat ataupun dihanyutkan. Sementara umpan yang sama boleh digunakan bagi kedua-dua teknik ini.
Sebarau dan peacock bass ialah spesies karnivor iaitu haiwan yang memakan benda hidup seperti ikan kecil atau haiwan lain. Jadi, umpan terbaik untuk memancing kedua-dua spesies ini ialah anak ikan atau kecil yang hidup di habitat yang sama.
Selain anak-anak ikan atau ikan kecil, sebarau dan peacock bass juga boleh dipancing dengan menggunakan anak udang, cacing, cengkerik dan serangga lain.
Boleh tak admin beritahu musim yang paling sesuai untuk memancing ikan patin. Satu lagi, mana lebih bagus untuk memancing ikan patin, waktu siang atau malam?
JAWAPAN:
Sebenarnya tiada musim khusus untuk memancing ikan patin. Anda boleh memancingnya setiap hari tanpa mengira musim kemarau atau tengkujuh. Namun untuk hasil pancingan yang lebih bagus, anda perlu cuba memancing musim hujan tiba atau tengkujuh.
Ketika inilah ikan patin akan lebih mudah dipancing kerana populasi lebih banyak dan menyebar ke semua penjuru sungai. Namun kalian juga tetap boleh memancing ikan patin pada musim kemarau jika mengetahui lubuk-lubuk yang berpotensi untuk melabuhkan umpan.
Berkenaan waktu yang lebih sesuai untuk memancing pula, waktu malam adalah lebih berpeluang. Ini kerana ikan patin termasuk ikan nocturnal (lebih aktif pada malam hari). Jadi, ia sudah cukup jelas bahawa malam hari lebih efektif untuk memancing.
Namun garis panduan tersebut hanya berlaku untuk ikan patin liar saja. Berbeza dengan ikan patin kolam yang sudah beradaptasi dan memang sudah terbiasa diberi makan pada siang hari.
Untuk rekod saiz tangkapan pula waktu malam lebih baik. Kebanyakan ikan patin bersaiz besar sering dinaikkan pada waktu malam sama ada di habitat liar mahupun di kolam pancing.
Sekiranya kita memancing spesies bersisik seperti kerapu, jenahak dan kerapu di sesuatu lubuk, di bahagian manakah yang terbaik untuk dilabuhkan umpan? Sama ada di bahagian depan, tengah atau di belakang lubuk?
JAWAPAN:
Jika kita memancing di kawasan lubuk (kawah, lubang, kapal karam atau tukun) sasaran melabuh umpan terbaik adalah di dalam lubuk di mana tempat ikan selalu berkumpul di dasarnya.
Lubuk begini lazimnya lubuk kawah atau lubang yang tiada hadangan di tengah-tengah lubuk.
Namun berbeza jika kita memancing di lubuk yang mana di tengah lubuk terdapat reba, tukun atau kapal karam.
Sudah tentu jika kita melabuhkan umpan di tengah lubuk maka umpan, mata kail dan ladung akan turut sama menjadi tukun.
Jika kita memancing di lubuk sebegini maka sasaran terbaik melabuhkan umpan adalah di bahagian hadapan lubuk.
Seperkara lain lazimnya, ikan-ikan besar sering berada di hadapan dan dalam tukun untuk melakukan serang hendap dan sebagainya.
Lokasi pilihan lain ialah bahagian sisi lubuk sama ada di sebelah kiri atau kanan sisi lubuk. Jangan berada di belakang lubuk kerana kawasan ini terlalu jauh dari zon serangan ikan bersisik.
Kebiasaannya ikan bersisik akan menyerang mangsa dari dalam dan belakang lubuk dengan menerpa arah hadapan di mana terdapat sumber makanan seperti anak ikan yang datang mengikut arus di hadapan lubuk.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...