Terima kasih kerana menyuarakan soalan yang jarang diajukan oleh kebanyakan pemancing. Malangnya saya tidak mempunyai fakta yang kukuh untuk menjelaskan perkara ini.
Ini kerana sepanjang pengalaman memancing udang galah, saya pernah juga memperoleh udang galah yang kekurangan salah satu sepit.
Saya tidak pasti sepitnya itu tercabut ketika proses mendaratkannya atau sudah lama tertanggal sebab yang lain.
Dan pada bahagian sepit yang tercabut itu tidak pula kelihatan adanya pertumbuhan sepit yang baru.
Ads
Namun saya juga mempunyai pengalaman melihat sendiri proses pertumbuhan sepit baru pada udang galah yang dibela di dalam akuarium.
Saya pernah membela dua ekor udang galah yang diperoleh dari kolam memancing. Akibat `pergaduhan’, salah seekor daripada udang galah itu kehilangan salah satu sepit birunya.
Setelah beberapa hari saya mendapati ada organ seperti tunas yang tumbuh pada bahagian sepit yang tertanggal.
Dalam tempoh yang agak singkat tunas itu tumbuh menjadi sepit yang sempurna.
Ads
Berdasarkan kejadian itu saya percaya udang galah di habitat asalnya juga boleh dapat kembali sepitnya yang telah anda cacatkan.
Oleh yang demikian anda tidaklah perlu rasa bersalah sebaliknya cubalah untuk memperbaiki gaya pancingan anda agar tidak terlepas jenggo lagi.
Kupang merupakan sejenis siput (mollusk) yang mempunyai bentuk bulat dan bujur tirus di bahagian hujung kulitnya.
Dua keping kulit kupang berwarna hijau gelap (hijau lumut) dan berjalur hijau muda di bahagian tepinya.
Kupang yang juga dikenali dengan nama siput sudu (mussels) ini mempunyai isi lembut dan berwarna oren kekuningan dan berasa liat ketika mentah.
Kulit kupang yang keras melindungi isi dari cacat atau dimakan oleh ikan dewasa. Terdapat 3 jenis varieti kupang iaitu Pteriomorpha untuk ternakan air laut, Palaeoheterodonta untuk ternakan air tawar dan Heterodonta sejenis kupang zebra.
Kupang merupakan siput planton feeders iaitu (pemakan plankton) sama seperti kerang, remis, siput sedut dan pelbagai haiwan bercengkerang.
Ia merupakan sejenis famili kerang-kerangan dwicangkerang yang boleh dimakan. Siput sudu boleh dijumpai di kawasan air tawar seperti tasik dan sungai dan juga di kawasan pasang surut di pinggir laut di seluruh dunia.
Melalui arkeologi, dapat diketahui bahawa manusia telah lama menjadikan siput sudu sebagai satu sumber makanan.
Hari ini, siput sudu laut merupakan sejenis makanan laut yang popular, terutamanya di Belanda dan Belgium, di mana ia biasanya dimakan bersama kentang goreng atau jejari kentang.
Di Itali pula, siput sudu biasa dimakan bersama makanan laut lain atau dimasukkan ke dalam pasta. Di Turki, siput sudu akan digoreng dengan tepung dan dimakan dengan kebab atau dimakan sejuk bersama nasi.
Kupang banyak diternak oleh pengusaha di negeri Johor dan Negeri Johor merupakan negeri pengeluar kupang terbesar di Malaysia.
Penternakan kupang banyak dilakukan di kawasan perairan Selat Tebrau terutama di kawasan Senibong, Johor Bharu dan ia juga pernah diternak di kawasan Sungai Rambai, Melaka disekitar tahun 1980-an.
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pertanian merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk mengawal, mengurus dan mengeluarkan lesen kepada persatuan nelayan atau pengusaha yang berminat untuk menternak kupang.
Pelbagai projek yang dianjurkan oleh pihak LKIM dalam memeriahkan dan mengembangkan usaha perniagaan dalam bidang akuakultur ini supaya penternakan
spesies akuakultur ini boleh berkembang maju sehingga boleh dipasarkan secara komersial kepada seluruh negara.
Ianya juga boleh mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan kepada pengusaha. Permintaan yang tinggi terhadap siput sudu atau kupang ini datang dari pengusaha makanan laut.
Ini kerana rasa kupang yang enak serta bau aroma yang membangkitkan selera pengemar makanan laut. Juadah kupang bakar atau kupang tumis berlada menjadi pilihan pengemar.
Ini adalah kerana setelah kupang dimasak, isi kupang berasa lebih manis, mempunyai isi lembut dan sesuai dinikmati bersama nasi panas.
Di kawasan perairan Pontian dan Tebrau, pengusaha penternakan Kupang menggunakan teknologi pelampung tong plastik dan tali rawai.
Tong plastik akan diikat dan direntangkan di persisir peraiaran dan tali kupang akan di ikat pada tong tersebut.
Ada juga pengusaha yang menggunakan teknologi lama dengan memasang tiang kayu nibung yang dipasak di dalam laut dan tali kupang akan diikat dengan pemberat dan ditenggelamkan di dalam air.
Bagi kedua-dua teknologi ini, benih kupang akan dilepaskan di sekitar tali dan ianya akan semulajadi melekat di tali tersebut. Ia akan membesar selama 7 hingga 10 bulan sebelum ianya boleh dituai.
Dengan nama saintifik Tachypleus gigas, belangkas dikenali dengan nama umum Indo-Pacific horseshoe crab, Indonesian horseshoe crab, Indian horseshoe crab, atau southern horseshoe crab, merupakan salah satu daripada spesies hidup dalam keluarga ketam.
Belangkas boleh ditemui di pesisir pantai di Asia Tenggara dan selatan pada kedalaman sehingga 40 meter. Ia mampu membesar panjang termasuk ekor sehingga 50cm dan dengan kelebaran cengkerang sehingga 26cm.
Bentuk badannya yang bercengkerang dan dilihat seakan-akan kereta kebal mini yang berwarna kehijauan.
Kebiasaannya, bagi nelayan di Malaysia, belangkas amat mudah ditangkap menggunakan jaring atau pukat yang dipasang memanjang di pesisiran pantai berpasir. Apabila air mulai bergerak pasang, belangkas akan bergerak ke pesisir pantai dan dari situlah ia akan terperangkap di jaring yang dipasang merentasi pantai.
Tahukah anda, belangkas juga boleh ditangkap menggunakan tangan. Caranya dengan memerhati kelompok buih di atas air (sepanjang gigi air). Dengan cara ini, Ia memerlukan daya penglihatan yang tajam untuk menangkap spesies ini.
Kebiasaannya, belangkas akan diperolehi sepasang, iaitu jantan dan betina. Kebanyakan penangkap belangkas, hanya akan mengambil belangkas betina manakala jantan akan dilepaskan. Ia disebabkan betina bersaiz lebih besar, lebih banyak isi dan mengandungi telur.
Untuk menyiang belangkas ia memerlukan ketelitian kerana anda perlu membuang saluran najis hingga ke kantung perutnya yang berada di tengah-tengah anggota kakinya hingga ke dubur iaitu pangkal ekor tajamnya.
Ini kerana, bahagian tersebut mengandungi sejenis toksin yang boleh membuat pemakannya berasa mabuk dan pening kepala. Untuk resipi, belangkas boleh dimasak asam pedas kering atau masak lemak cili api (salai terlebih dahulu).
Rasa isinya memang manis seperti isi ketam dan telurnya yang banyak dan rasanya seakan kuning telur asin yang menyelerakan.
Selain dijadikan masakan, belangkas juga amat popular di kalangan kaki pancing laut mahupun kolam kerana keupayaannya dijadikan umpan yang berkesan untuk memikat ikan.
Untuk pancingan laut, biasanya, pemancing akan menggunakan telur belangkas dan dikepal bersama mata kail untuk menjerat pelbagai jenis ikan. Ia memang terbukti mampu menjinakkan spesies bersengat seperti sembilang, belukang dan duri.
Manakala untuk pancingan air tawar, belangkas lazimnya diproses menjadi minyak yang dicampur bersama dedak atau pallet untuk menjerat rohu, patin, jelawat dan lampam.
Keberkesanan minyak belangkas ini menjadi ia umpama senjata utama khususnya oleh pemburu ikan rohu.
Bagi pemancing pantai, muara atau pesisir pantai, spesies ikan bebaji boleh dikatakan salah satu ikan yang bakal diperoleh selain pari, bebolos, gelama, belukang, duri dan pelbagai lagi. Ikan bebaji atau turut dikenali sebagai bebebaji merupakan ikan dalam keluarga flathead, dengan membawa nama saintifik Platycephalus indicus. Dalam panggilan global ia dikenali dengan nama umum bartail flathead.
Selaku ikan dalam keluarga flathead, ikan bebaji memiliki kepala yang leper mendatar. Mulut di bahagian bawah panjang sedikit dari rahang atas dan terdapat sekelompok gigi tajam yang meruncing ke dalam. Bentuk gigi sebegini bertujuan untuk mengelakkan mangsa terlepas apabila dicengkam.
Matanya kecil terletak di bahagian atas kepala yang lebar dari badannya sendiri. Bentuk badannya menirus ke belakang dan agak lebar saiznya. Berwarna coklat dan berbelang hitam di badan dan boleh menyamai warna lumpur yang menjadi habitatnya. Selain itu ia juga untuk tujuan penyamaran ketika menanamkan sebahagian badan pada lumpur dasar. Ekornya berjalur hitam putih dan separuh bulat. Bahagian bawah perut keseluruhannya cerah.
Pada asasnya ikan bebaji tidak menggigit atau memiliki sirip berduri yang berbisa. Tetapi perlu awas pada dua bebaji (duri tajam) di kiri dan kanan berdekatan bahagian kepala. Elakkan memegang bahagian kepala ikan ini dengan tangan kerana duri yang terselindung di bahagian kepala ini boleh melukakan tangan anda dengan mudah dan setajam pisau. Gunakan playar atau alatan yang sesuai untuk mengeluarkan mata kail dari mulutnya.
Ikan bebaji boleh menjangkau panjang sehingga 1 meter kaki tetapi spesimen sebegini jarang ditemui di pengairan negara kita. Setakat ini tiada kajian dilakukan untuk memastikan secara saintifik kenapa ikan bebaji yang terdapat di negara kita jauh lebih kecil berbanding di Australia. Spesimen yang biasa diperolehi di perairan tempatan sekitar 20 cm hingga 30 cm sahaja.
Taburan ikan bebaji agak meluas dari India hingga Australia, terutama Queensland dan Selatan Jepun hingga di perairan negara kita. Ikan berkepala leper mendatar ini mudah ditemui di kawasan perairan cetek yang mempunyai dasar berlumpur dan berselut.
Kadang kala ia turut mendiami kawasan pantai berpasir tetapi spesies yang suka membenamkan diri ini lebih tertumpu di kawasan pasir halus serta lembut.
Paling banyak ia dipancing ialah di sekitar kawasan berlumpur di persisran pantai Barat semenanjung terutama berdekatan dengan Jambatan Pulau Indah, Sekitar pelabuhan Kelang dan persisiran pantai Segari, Perak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...