Korang Tanya Umpan Jawab – Betul Ke Ikan Baung Sambar Umpan Tipu??

Share

 

Betul! Betul! Betul! Ini sememangnya kenyataan dan bukannya gurauan. Berdasarkan pengalaman, saya berani menyatakan bahawa ikan baung sememangnya boleh diperdaya dengan menggunakan gewang atau umpan tiruan.

 

Walaupun cuma sekali dan bukan disengajakan, saya pernah mendaratkan ikan baung dengan menggunakan gewang. Gewang selaman dalam yang digunakan untuk memancing haruan tetapi ikan baung pula yang mengena.

 

Walau bagaimana pun boleh dirumuskan di sini, jika ingin memburu baung menggunakan gewang, dicadangkan agar menggunakan gewang yang boleh menyelam hingga ke dasar.

Lebih baik jika gewang dapat menyodok dasar sungai kerana ikan baung adalah spesies yang hidup dan mencari makan di dasar sungai.

 

Cara persembahan amat penting dan sering kali sambaran berlaku apabila gewang dipersembahkan betul-betul di hadapannya. Apa yang penting kita mestilah tahu mengenal rumah atau lubuk yang didiami oleh ikan ini.

 

Selain dari teknik casting, teknik yang turut mujarab khususnya memperdaya baung ialah dengan menggunakan teknik trolling atau menunda dengan menggunakan gewang selaman dalam atau gewang rattlin jenis bergetar.

 

Dalam pada itu anda perlu bersedia untuk kehilangan gewang kerana lazimnya ikan baung menggemari dasar sungai atau tasik yang berstruktur.

Risiko gewang tersangkut reba atau jaring lama yang berlonggok di dasar sungai sangat tinggi. Dan pastikan anda bawa alat penyelamat gewang!

 

 

Published by
Amang