Boleh tak admin huraikan lebih lanjut jenis umpan untuk memancing udang galah?
JAWAPAN:
Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor iaitu spesies yang boleh dikatakan makan serba-serbi yang dijumpainya. Untuk memudahkan mengesan udang lebih cepat kita perlu menggunakan umpan yang memiliki bau yang kuat.
Di kawasan air jernih udang amat berhati-hati dan kurang galak kecuali kita memancing waktu malam atau lubuk yang didominasi udang galah.
Ads
Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup atau mati, remis, isi kerang dan juga sesiput lainnya.
Jika menggunakan isi ikan, isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah juga boleh digunakan dan dipotong mengikut saiz mata kail.
Ads
Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh. Pilihan lain jantung atau hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing udang di kolam.
Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata.
Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Jangan pula terlalu kecil kerana melambatkan proses udang galah mengesannya pula.
Saya baru menjinakkan diri dalam arena casting. Saya dapat lihat ramai rakan-rakan yang menggunakan ‘shock leader’ yang disambungkan pada tali utama (braided) mereka. Bolehkan saya tahu, apakah fungsi ‘shock leader’ ini? Adakah ia benar-benar penting?
JAWAPAN:
‘Shock leader’ ataupun bahasa mudahnya perambut kejutan atau perambut serap tekanan merupakan penyambung tali sulam dengan tali perambut yang biasa diperbuat daripada bahan fluorocarbon. Penggunaan ‘shock leader’ ini semakin meluas digunakan bagi kaki pancing yang menggemari teknik casting, jigging atau trolling.
Fungsi utamanya ialah ia menjadi alat untuk menyerap tekanan mengejut daripada sambaran ikan apabila ikan menyambar umpan. Selain itu, ia juga bertindak sebagai alat untuk mengurangkan tekanan geseran pada struktur dan pada masa yang sama ia juga mampu untuk mencangkukkan mata kail dengan lebih kemas pada mulut ikan.
Kelebihan inilah menjadikan ‘shock leader’ ini sering digunakan kaki pancing masa kini, terutamanya bagi mereka yang menggunakan tali sulam kerana tali sulam tidak mempunyai kuasa regangan untuk menampung henjutan kuat secara tiba-tiba dan tugas ini dipikul perambut tangsi yang akhirnya bertindak sebagai penyerap sentakan atau absorber.
Sebaliknya jika menggunakan tali tangsi atau monofilament sebagai tali utama maka penggunaan shock leader tidak diperlukan lagi. Ini kerana tali tangsi memiliki memori tidak sebagaimana tali braided. Dalam pada masa yang sama ia juga bertindak sebagai shock leader.
Salam min… saya ada persoalan sikit. Kenapa ikan talang diketegorikan ikan second class? Saya perhatikan ramai pemancing memandang rendah pada spesies ini.
Jawapan:
Ikan talang atau queenfish (Scomberoides commersonianus) adalah ikan pemangsa yang sering dijadikan buruan pemancing di serata perairan Malaysia.
Second class?? ia tidak langsung diketegorikan sebagai ikan second class kerana rata-rata pemancing amat menggemari berentap dengan spesies ini kerana aksi akrobatik dan kekuatannya.
Walau pun isinya sahaja yang kurang enak untuk di buat santapan. Nelayan atau pemancing yang memperoleh ikan ini akan menjadikan ia ikan masin. Tetapi jika kena dengan menu dan hasil masakkan yang baik, ikan ini juga boleh setanding dengan ikan yang lain.
Pada pemancing, ia adalah lebih baik dilepaskan semula sekiranya anda tidak bertujuan menjadikan ia sebagai makanan kerana dengan cara ini anda dapat mengekalkan populasi ikan talang di tempat tersebut supaya ia tidak berkurang dan boleh dijadikan tempat terbaik untuk berkunjung semula.
Ikan talang banyak bermain di kawasan batu di sekeliling pulau berbatu dan kawasan yang berstruktur seperti rumah api ataupun unjam. Oleh kerana ikan ini adalah ketegori ikan pemangsa yang merayau-rayau mencari makanan, anda boleh memancing dengan kaedah bottom, casting, menunda, apung, jigging, popping atau layang.
Admin… boleh tolong bg tip cara untuk sangkut usus ayam pada mata kail dan ikan jenis apa yang sesuai untuk umpan ni?
JAWAPAN:
Usus atau perut ayam merupakan umpan memancing yang sudah diguna pakai sejak sekian lama untuk pancingan ikan air tawar. Sehingga sekarang pun masih ramai yang menggunakannya untuk memburu ikan air tawar tidak kiralah di sungai, tasik, lombong ataupun kolam.
Banyak cara yang boleh digunakan untuk memasang perut ayam ini pada mata kail. Sama ada dicangkuk terus pada mata kail dengan saiz yang kecil, atau cangkuk pada bahagian perut ayam dan dibiarkan berjuntai seolah-olah seperti seekor cacing.
Ada juga yang mencangkuk dan melilit perut ayam pada mata kail tapi cara ini menyebabkan perut ayam sangat mudah tertanggal bila ditarik ikan kecil.
Cara yang terbaik untuk memasang umpan perut ayam ialah dengan memasukkan mata pancing ke dalam perut ayam dan ikatkan hujung atau pangkal dengan tali perambut anda.
Cara pemasangan:
Gunakan perambut yang agak panjang kira-kira 1kaki hingga 1 1/2 kaki.
Potong perut ayam dengan panjang 1 jengkal.
Masukkan mata pancing ke dalam perut ayam hingga ke hujung perut, tapi jangan melebihi panjang perut ayam.
Ikat hujung bahagian atas perut ayam dengan tali perambut.
Cara ini terbukti lebih baik kerana tidak mudah tanggal bila dimakan ikan kecil dan juga ikan mudah mengena.
Biasanya umpan perut ayam ini digunakan untuk memancing ikan patin, keli dan pacu. Namun ia juga boleh digunakan untuk memancing ikan tengas dan juga udang galah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...