Ia umpama satu pengikhtirafan tidak rasmi bagi arena sukan memancing tanah air apabila Jabatan Belia dan Sukan Selangor, menyenaraikan aktiviti memancing sempena sambutan Hari Sukan Negara 2018 peringkat negeri Selangor.
Bertempat di Taman Botani Negara Shah Alam, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama TLL Laniza Global Network serta Reelyologi Reel Workshop, telah menganjurkan program memancing, Komplot Terjah Pacak pada 13 Oktober yang lalu.
Program yang berlangsung di Empangan Air Kuning Fly Fishing & Lure Casting Centre, Taman Botani Negara Shah Alam, merupakan sub-segmen rekreasi luar ini menampilkan
ikon sukan memancing air tawar yang popular dengan nama Lan Lubuk. Program yang bermula sekitar jam 9 pagi sehingga 6 petang ini dimulakan dengan asas memancing ikan air tawar.
Ads
Selain mengadakan demontrasi membancuh umpan yang sesuai untuk pancingan ikan air tawar, Bengkel yang ditutorial oleh Lan Lubuk dan pembantu dari TLL Laniza Global
Network turut menunjuk ajar cara-cara menghasilkan ikatan perambut khusus untuk pancingan ikan air tawar.
Selain itu program ini juga turut diserikan dengan sesi bual bicara perkenalanan dan penyelenggaraan asas kekili oleh Mahfudz Mohamad Nor dari dari Reelyology Reel Workshop. Pameran dan jualan umpan dan peralatan memancing turut sama diadakan.
Acara kemuncak yang dinantikan lebih 40 orang peserta yang hadir bermula tepat jam 11 pagi.
Ads
Tentu saja program memancing. Namun acara memancing yang dilangsungkan lebih kepada pertandingan memancing santai.
Pelbagai spesies ikan berjaya didaratkan termasuklah spesies utama kolam ini iaitu pacu, jelawat dan pelbagai spesies tilapia.
(Antara aksi pertandingan yang sempat dirakam)
Ads
Selesai sesi memancing pada jam 4p petang menyaksikan peserta bernama Epul dinobatkan sebagai juara apabila berjaya mendaratkan ikan pacu seberat 4.09 kg.
Selain Epul, beberapa peserta lain yang bertuah berjaya membawa pulang barangan pancing dan hamper sebagai hadiah kemenangan.
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam kajian terbaru (Walton et al 2015) common mahseer of Malaysia iaitu kelah merah yang selama ini dikelasifikasikan sebagai Tor tambroides telah diganti dengan Tom tambra. Kajian ini sekaligus merubah nama saintifik kelah merah (semenanjung) dan empurau (Sarawak) yang sekian lama telah digunapakai. Walaubagaimana pun spesies Tom tambroides tidak dapat dipastikan bagaimana rupanya.
Tor tambra atau kelah merah telah menjadi ikon raja air tawar dan sering diburu oleh kebanyakan pemancing. Gelaran raja air tawar ini disebabkan oleh kesukaran mendapatkannya selain mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan dan juga perhiasan akuarium. Ramai juga yang memburu spesies ini pulang hampa dek tamparan kumpau atau ikan tak buka mulut. Jom kita selidik lebih lanjut tentang sang raja air tawar ini.
Ikan kelah atau mahseer merupakan antara spesies bernilai tinggi dan sering menjadi buruan kaki pancing khususnya di negara kita. Selain mempunyai nilai tinggi dibuat hidangan makan, spesies daripada keluarga kap (cyprinnidae) ini juga menjadi ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar ‘Raja Air Tawar’ di kalangan pemancing.
Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies agak sukar dibezakan kerana mempunyai sifat luaran yang hampir sama. Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor. Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Di negara kita, spesies kelah merah telah dikenal pasti sebagai Tor tambra atau Malayan mahseer.
Mengimbau kembali ke belakang, spesies kelah pertama telah dihuraikan secara saintifik oleh Francis Buchanan- Hamilton sekitar 1822 iaitu Tor tor (Short-gilled mahseer). Hamilton juga merupakan penemu kepada spesies T. putitora (Golden mahseer, Himalayan mahseer). Pada 1833, majalah Oriental Sporting telah menyebut secara khusus bahawa mahseer sebagai ikan cabaran hebat dalam ikan sukan. Sejak itu, mahseer menjadi kegilaan bagi pemancing British di India.
TABURAN SPESIES
Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Kawasan sebegini merangkumi Burma, Thailand, Malaysia, Kemboja, Laos dan Sumatera di Asia. Taburan ikan kelah juga merentasi Asia Tenggara sehingga ke beberapa bahagian di India.
Begitu pun, kebanyakan sistem sungai berjeram termasuk di negara kita semakin rosak lantas mengundang risiko yang semakin tinggi kepada habitat ikan kelah. Risiko kehilangan habitat secara langsung mengancam kemandirian spesies ikan kelah sehingga dikelaskan sebagai spesies terancam.
Antara penyebab utama terhadap kemungkinan kepupusan spesies ini termasuklah pencemaran sungai, pancingan tanpa kawalan dan juga aktiviti pembinaan yang sering dikaitkan dengan pembinaan empangan.
BIOLOGI DAN PEMBIAKAN
Ikan kelah secara tipikalnya mendiami dan berlegar di kawasan dasar yang berbatu dan berkayu sebagai tempat berlindung di kawasan hilir sungai. Terdapat juga yang memilih untuk berlindung di kawasan yang lebih luas dan dalam. Ketika musim mengawan, ikan kelah akan bermigrasi atau berhijrah dan berenang melawan arus ke hulu sungai. Di hulu sungai, ikan kelah akan memilih kawasan sungai-sungai yang lebih kecil untuk melepaskan telurnya.
Musim mengawan ikan kelah berlaku sekali secara puncak dalam setahun. Telur akan dilepaskan dalam kawasan air secara terbuka dan induk kelah tidak akan menjaga anak kelah atau juvenil yang menetas. Menurut kajian di Thailand, puncak musim mengawan ikan kelah berlaku sekitar bulan Julai setiap tahun.
Ketika musim mengawan, pada bahagian pipi di bawah mata ikan kelah akan kelihatan bintik-bintik halus atau turbecles. Bintik-bintik ini menandakan ikan sedang dalam proses mengawan.
MORFOLOGI
Badan ikan kelah mempunyai bentuk yang agak tirus dimana memberi kelebihan kepadanya ketika berenang melawan arus dan memanjat jeram. Warna badannya pula bervariasi daripada kuning keemasan sehingga ke warna kemerahan. Sisik di badannya mempunyai warna berkilau dan cantik. Kelah matang biasanya mempunyai sisik sehingga sebesar duit syiling 50 sen.
Sirip dorsal ikan kelah biasanya agak besar. Pada bahagian mulutnya, ikan kelah atau mahseer dari genus Tor mempunyai bibir median bawah yang lebih tebal. Bibir ini membezakannya daripada spesies tengas atau kejor (copper mahseer) dari genus Neolissochilus. Kelah jantan yang matang pula biasanya lebih kecil berbanding kelah betina yang matang.
DIET PEMAKANAN
Ikan kelah bersifat omnivor dan memburu ikan kecil serta serangga hutan sebagai diet makanannya. Selain itu, ikan kelah juga menjadikan buah-buahan hutan sebagai diet lainnya. Antara buah hutan yang popular menjadi diet kelah termasuklah buah neram, buah ara, buah kepala sawit, serangga kecil dan sebagainya.
JENIS KELAH DI MALAYSIA
Menurut kajian, terdapat beberapa spesies kelah daripada genus Tor di Malaysia iaitu Tor tambroides, T. tambra dan T. douronensis. Sementara itu, tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.
Spesies T. tambra yang biasa dijumpai di semenanjung Malaysia juga digelar sebagai kelah merah manakala T. douronensis pula merupakan kelah biru. Gelaran tempatan kepada kelah merah dan kelah biru berdasarkan warna sisik pada badannya.
Di Sabah, ikan kelah juga digelar sebagai pelian (Tor douronensis) sementara empurau (Tor tambra) merupakan gelaran ikan kelah merah di Sarawak. Sementara semah di Sarawak adalah spesies Tor duoronensis.
TAKSONOMI
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Kelas : Teleostomi
Orer : Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus : Tor, Neolissochilus, Naziritor
Spesies : Tor tambroides, Tor douronensis, Tor tambra,
Pelawaan Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan P sahaja, yang mengajak saya memancing spesies ini di atas rumah rakit Sungai Pahang di Temerloh semestinya peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Satu tarikh yang pasti telah disepakati bersama. Sementara dateline tiba, saya membuat persediaan ‘apa yang patut’ sebagaimana yang diberitahu oleh P. Peralatan seperti tali,
batu ladung, mata kail, perambut dan lain-lain kenalah sepadan dengan ikan sasaran dan padang pancing yang hendak diduga.
Umpan panadol
Dulu-dulu bila berhajat untuk mendapatkan patin sebagai ikan sasaran, umpan yang sering dipertaruhkan seperti buah bemban, pisang, ara, belimbing ranum dan buah perah.
Begitu juga udang, lipas, anak ikan, perut ayam, cacing dan lundi kumbang turut ‘menjadi’. Lain pula ceritanya bila memancing di atas rumah rakit ini.
Setelah joran disambung dan perambut disematkan kepada cili, P menghulur satu bungkusan kertas surat khabar lama kepada saya.
Segenggam palet ikan bersaiz besar yang telah diadun dengan resipi tersendiri berada di depan mata.
“Cangkuk 3-4 biji, baling…sempoi,” jelas P.
Lain padang, lain belalang. Curiga juga di hati saya dengan umpan ini. Adakah ikan mahu memakannya?
Kalau mahu, patin pun nampaknya sudah upgred menu seharian mengikut peredaran zaman. Biar betul!
Penjelasan daripada P merungkai persoalan. Semenjak industri ternakan patin dalam sangkar diperkenalkan, sejak itulah anak-anak patin menjamah lebihan palet yang terkeluar dari sangkar.
Kini palet bukan lagi makanan pelik tetapi sesuatu yang menjadi kegemaran dan tidak perlu ke hulu, ke hilir mencari makanan. Tunggu di bawah sangkar pun boleh kenyang!
Apatah lagi umpan palet yang kami gunakan lebih kasar berbanding palet biasa. Memang meleleh air liur. Palet kasar ini lebih dikenali sebagai ‘panadol’ di kalangan warga pancing Temerloh.
Panjang perambut
Memancing patin di atas rumah rakit tidak memerlukan peralatan kasar. Ikan sasaran dalam lingkungan 3kg ke bawah. Joran serta kekili kelas sederhana sudah memadai. Tali utama 15lb-25lb sudah cukup.
Perambut tangsi berkekuatan 12lb sepanjang satu kaki yang digunakan sepanjang saya memancing pada malam tersebut tidak mendatangkan sebarang masalah.
Mata kail yang digunakan bersaiz 14 tertancap kemas di rahang patin. Yang penting pastikan ia betul-betul tajam.
Tiga batang joran saya tagan. Dua berumpankan ‘panadol’, sebatang lagi cacing air. Mata kail yang dicucuk cacing air adalah untuk mendapatkan ikan spesies lain walaupun ada ketikanya dibelasah juga sang patin.
Penggunaan penyauk atau tangguk mustahak di sini. Beberapa ekor patin berjaya meloloskan diri sebaik sahaja cubaan mengangkat terus tanpa penyauk.
Sediakan payung sebelum hujan agar trip dan usaha tidak sia-sia.
Dalam keriuhan bersembang sambil menonton Discovery Channel, loceng di hujung joran yang berperanan sebagai ‘penggera isyarat’ berkocak riang.
Terus sahaja saya berlari mendapatkan joran yang bergegar-gegar.
Drag yang sengaja disetkan longgar, diketatkan sedikit. Tangsi dipamkan sedikit demi sedikit. Beberapa minit bertarung, muncung patin terdongak di permukaan air.
Mat yang berdiri di sisi saya bergegas menyauk ikan. Melihat sahaja sauk menghampirinya, mangsa memecut ke dasar. Berdesup perginya!
Pemangsa menggenggam erat joran menahan asakkan dan bila mangsa ‘bagi tali’, bail arm berpusing ligat menyusun tangsi ke dalam gelendong.
Mangsa yang keletihan berjaya disauk dan menggelupur di atas lantai rumah rakit. Pemangsa tersenyum puas.
Bagi anda yang berpeluang berkunjung ke Bandar Temerloh yang mendapat jolokkan sebagai Bandar Ikan Patin, apa kata labuhkan joran anda di Dataran Patin (Esplaned
Temerloh) atau di sepanjang pesisir tebing Sungai Pahang. Mana tahu tuah menyebelahi anda!
Informasi rumah rakit
Rumah rakit Temerloh di Sungai Pahang dibina lebih 20 tahun yang lalu. Dahulu, ada yang membinanya sebagai rumah untuk keluarga.
Tetapi atas faktor keselamatan, terutama ketika musim banjir, rumah rakit dilihat tidak sesuai untuk dihuni oleh sesetengah penduduk Temerloh.
Namun, masih terdapat beberapa rumah rakit yang berfungsi sebagai ‘port’ di kalangan nelayan sungai sekitar Temerloh, Triang dan Maran bertemu sambil membincangkan mengenai hal-hal yang berkaitan ikan air tawar.
Di atasnya dibina stor ruang dapur, bilik tidur sera stor untuk penyimpanan pukat dan enjin.
Hanya sesekali kaki pancing di sekitar daerah ini ‘tumpang sekaki’ memancing di atas rumah rakit ini.
Berhampiran rumah rakit terdapat jambatan lama Temerloh di mana ramai pemancing memacak joran terutama si sebelah malam.
Pada malam minggu suasana lebih meriah dengan kehadiran ramai kaki pancing melabuhkan umpan menunggu rentapan daripada penghuni Sungai Pahang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...