Bertempat di kolam memancing air tawar yang popular di Negeri Sembilan, Jerlang Pantai Sport Fishing (JPSF) satu komplot memancing berkonsepkan silaturahim anjuran Fishing Fighter telah diadakan.
Komplot ini hasil dari gabungan beberapa kumpulan pemancing sekitar Lembah Kelang dan Negeri Sembilan bagi merapatkan ukhwah antara pemancing yang kebanyakan berhubung di laman sosial sahaja.
Walaupun tidak menjanjikan hadiah yang lumayan, ternyata ia mampu juga menarik minat hampir 50 peserta.
Ads
Alhamdulillah, komplot yang berlangsung pada Sabtu lalu (8 Disember) pada jam 3.00 berlangsung dalam suasana meriah dan ceria.
Apatah lagi penghuni kolam menyambut baik umpan yang ditabur oleh pemancing. Hasil tangkapan ternyata cukup memberansangkan.
Bukan sahaja dari segi kuantiti, tetapi juga kualiti. Spesies patin cukup yang mendominasi kolam ternyata menjadi spesies yang paling banyak didaratkan.
Ads
Disebalik patin, pacu dan patin mekong yang banyak ditempatkan di dalam kolam, penulis berasa cukup bertuah kerana berjaya mendaratkan ikan karak atau katla bersaiz 12.6 kg.
Ia menjadi kenangan yang amat manis bagi penulis dalam komplot bersaudara ini.
Ads
Selain acara memancing, tutorial penyediaan umpan turut dipersembahkan oleh pihak penganjur.
Malah pihak penganjur turut menyediakan hadiah kepada para pemancing yang berjaya mendaratkan ikan terberat.
Saudara Acit muncul sebagai juara komplot apabila berjaya mendaratkan ikan patin seberat 13.870 kg.
Sejurus majlis penyampai hadiah yang berlangsung pada jam 4.00 pagi, barulah para peserta komplot bersurai dengan wajah yang kekal ceria.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saban tahun saya mengikuti trip Geng Bregol kerana kumpulan ini lebih gemar bersantai dan hanya menjadikan aktiviti memancing hanya perkara sampingan. Saudara Bregol yang cukup aktif di usia muda meneroka seluruh pelosok gunung-ganang di Malaysia dan kini masih aktif berbasikal dan menjadikan trip ‘berkemping’ sebagai percutian.
Setelah sekian lama berehat, Bregol menghubungi saya untuk mengatur trip ke Endau Rompin tatkala cuti panjang yang berturut pada hari pekerja. Urusan permit masuk ke Taman negeri telah diuruskan saya sendiri 2 minggu sebelum trip berlangsung.
Cuaca yang sering hujan pada sebelah petang seminggu sebelum trip menggusarkan perasaan saya, namun itulah cabaran yang sering kami hadapi apabila kita bermain dengan alam semula jadi. Dalam hati berkata juga kalau air keruh maka baung sasaran utama dan spesies kelah serta sebarau ditolak ke tepi.
Sesi mencari sawit ranum 3 hari sebelum trip dan membiarkan ia lebih ‘masak’ di dalam plastik sebagai persediaan sesi memburu kelah, tengas atau spesies yang memakan umpan ini. Saya yang lebih gemar memburu spesies sebarau hanya membawa set casting dengan peluru-peluru sesudu dan gewang yang sesuai dengan lokasi sungai yang berjeram.
Apabila hari yang ditunggu telah tiba Geng Bregol memulakan perjalanan dari Ampang terus ke Kuala Pilah dan terus ke Kuala Rompin yang mengambil masa 6 jam perjalanan. Disebabkan ini kali pertama kunjungan ke Taman Negeri Endau Rompin, maka perjalanan agak perlahan kerana perjalanan waktu malam memendekkan jarak penglihatan apatah lagi melalui banyak laluan berliku.
Usai menunaikan kewajipan di Pekan Rompin, kami singgah ke pasar membeli sedikit lagi bahan makanan basah. Tema kumpulan ini adalah ‘ makan biar lebih, cakap biar kurang’ membuatkan tukang masak telah tahu tugasannya. Abang Kamis memang tukang masak yang setia dan sentiasa memberikan yang terbaik.
Jadual makan tepat pada masanya dan disediakan 5 kali sehari. Sebenarnya bila difikirkan, jika terlalu banyak membawa makanan boleh menyebabkan pertambahan beban semasa trekking. Tapi dek kerana memikirkan perut dan tekak yang perlu merasai nikmatnya berada di hutan kami gagahkan jua. Sampaikan lesung batu pun tukang masak bawa! Senang nak buat sambal belacan katanya.
Tiba di pondok kawalan Pejabat Hutan kami mendaftar nama peserta manakala permit bagi memasuki Taman Negara telah diselesaikan awal-awal lagi. Jam di tangan menunjukkan pukul 10.30 pagi menandakan kami sebenarnya tersasar dari jadual perjalanan asal untuk masuk jam 7.00 pagi.
Mengikut maklumat daripada renjer hutan, campsite di sebelah bawah masih kosong manakala bahagian ke hulu terdapat 3 kumpulan yang telah memulakan perjalanan seawal pagi.
Setengah jam pertama memasuki hutan berpuluh ekor pacat hinggap di kaki sehinggakan darah tidak berhenti mengalir. Ada di kalangan rakan trekking yang menggunakan selipar jenis terbuka sekaligus menyebabkan pacat dengan mudah menghidu darah manusia. Sampaikan bila terlalu banyak yang melekat pada kaki langsung tidak kami endahkan.
Setelah menyusuri denai hutan dan melalui 13 batang anak sungai yang penuh mencabar dan mengusung beg yang rata-rata seberat 30 kg, akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan.
Sesi gotong-royong memasang khemah dan menyediakan dapur untuk keselesaan tukang masak memang menjadi perkara yang diutamakan. Apa yang menyebabkan saya seronok mengikuti kumpulan ini adalah, ada sahaja idea-idea baru yang kreatif membuat sesuatu untuk kemudahan di hutan.
Para dapur yang selesa, tempat meletak pinggan mangkuk yang sesuai dan semua alat yang dibuat daripada bahan hutan. Acara memancing hanya sekitar kawasan jeram di tapak perkhemahan kerana cuaca kelihatan suram dan kebiasaannya hujan pada sebelah petang.
Pada hari pertama hujan seketika namun warna air sungai berubah menjadi agak keruh. Dalam hati berkata alamatnya baung sajelah lauk kita. Pada sebelah malam sesi pancingan dasar di tapak perkhemahan, rakan saya Jemer banyak mendaratkan spesies baung seperti yang dijangka. Walaunya saiz tidaklah sekasar mana namun kuantiti yang diperoleh cukup dijadikan juadah untuk esok tengah hari.
Hanya 3 ekor sebarau yang berjaya didaratkan pada awal pagi hari kedua ketika warna air beransur pulih. Percubaan demi percubaan dilakukan tetapi misi untuk mencari spesies kelah dan sebarau bersaiz kasar gagal sehinggalah hari ketiga hujan lebat melanda dan air keruh sehingga membawa ke masa untuk pulang.
Adat anak perantau, walaupun jauh berkelana di ibu negeri Selangor mencari rezeki, tetapi jika ada masa terluang, pasti saya akan cabut balik ke kampung nun di Taiping Perak. Bukan apa indahnya suasana desa, menyebabkan saya sering teringat ke kampung halaman.
Sudah adat saya juga yang gemarkan hobi memancing, pantang jika saya ada masa terluang akan pergi ke ceruk mana untuk memancing. Kesempatan bertemu rakan di kampung yang kebetulan mengajak untuk menduga perairan Pulau Sembilan, terus tidak saya tolak.
Saya, Arman, Ah Chong dan Renly bertolak menaiki kereta dan tiba di Jeti Lumut ketika hari masih gelap. Selesai solat Subuh dan bersarapan, kami bertemu tekong, Thomas. Tidak dilupakan bekalan makanan yang sudah siap ‘ditapau’ sebagai bekalan di atas bot nanti.
Jam 7.30 pagi bot terus dipacu menghala ke Pulau Sembilan. Sebelum bertolak, kami mendapat khabar angin ikan sudah berkurangan di sini akibat kemasukan bot pukat.
Tetapi kami tidak terlalu gusar, kerana ikan bagi kami bot pukat pun sebenarnya tidaklah sesuka hati melabuhkan pukat di merata tempat, terutama berhampiran pulau yang mana akan merugikan mereka juga.
Kami berserah kepada Allah dan yakin masih ada banyak tempat yang sangat menyeronokkan untuk memancing dan melayan ikan yang kasar. Saya ke sini cuba untuk casting dan juga belajar untuk jigging.
Kami tiba di sekitar Pulau Sembilan sekitar jam 9 pagi. Thomas mengambil kedudukan berhampiran satu teluk di bahagian pulau dan kami cuba jigging di situ.
Cubaan saya menggunakan jig bewarna oren 20 gram, berjaya memperdayakan mangsa. Larian padu hingga ke bawah bot menunjukkan ia adalah ikan GT. Agak puas juga melayannya memandangkan saya menggunakan set ringan.
Selepas itu, beberapa ekor GT lagi saiz bawah 2 kg berjaya kami naikkan selepas itu. Menjelang tengah hari, kelibat GT yang dicari langsung tidak ada. Kesempatan itu, saya gunakan untuk cuba-cuba untuk bottom dengan menggunakan isi ikan kembung.
Disebabkan alun agak tenang, mata pun kian layu dan hampir terlelap. Ketika itulah drag kekili saya berbunyi kuat, lantas mengejutkan semua yang ada di dalam bot.
Saya menahan asakan, tetapi ikan di bawah cukup kuat membenam ke bawah. Namun 20 minit kemudian, akhirnya naik seekor jenahak yang saya anggarkan beratnya sekitar 4 kg.
Rakan lain yang melihat saya berjaya menaikkan jenahak turun mencuba bottom dan berjaya menaikkan beberapa lagi ikan bayan dan telinga gajah.
Sehingga petang, kami mencuba lagi untuk jigging dan akhirnya, berjaya menaikkan beberapa ekor GT, talang dan juga kerapu. Sekitar jam 5 petang kami mengakhiri trip dan kesimpulannya, walaupun ia singkat tetapi tetap lumayan.
Pada 13 Jun lalu, penduduk dekat Sungai Linggi di sini, bimbang dengan fenomena ‘udang galah mabuk’ yang dipercayai berpunca daripada pencemaran air sungai.
Penduduk mendakwa kejadian itu dipercayai disebabkan pencemaran racun tuba yang digunakan oleh pencari udang galah selain kesan pencemaran kilang dari hulu Sungai Linggi.
Wakil penduduk, Md Isa Adam, 56, berkata, kejadian itu merisaukan penduduk rata-ratanya nelayan yang menjadikan udang galah di sungai itu sebagai sumber pendapatan harian.
“Sejak kebelakangan ini, memang air sungai keruh. Saya tidak pasti apa punca sebenarnya, tetapi saya difahamkan disebabkan aktiviti perkilangan yang melepaskan bahan kimia ke dalam sungai.
“Malah, sikap tamak nelayan sendiri yang menggunakan racun tuba untuk mendapatkan hasil yang banyak menyebabkan air sungai tercemar dan mempunyai kesan toksik.
“Saya pernah mengambil udang galah dari sungai dan meletakkannya ke dalam kolam. Saya terkejut apabila melihat air kolam bertukar menjadi hitam dan terpaksa menukar air beberapa kali sebelum ia betul-betul jernih,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan dan bertemu pemimpin tempatan untuk mencari penyelesaian bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini namun tiada tindakan diambil.
“Saya harap pihak berkenaan tolong periksa dan pantau jika betul ada aktiviti seperti didakwa kerana membabitkan sumber pendapatan dan bekalan air penduduk.
“Saya tidak mahu kejadian yang berlaku kepada Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang terjadi di sini.
“Saya juga bimbang udang galah yang dijual itu tercemar dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan pengguna.
“Kesannya mungkin tidak nampak sekarang ini tetapi pada jangka panjang siapa akan tahu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari mengesahkan menerima aduan terbabit dan menjalankan siasatan.
Beliau berkata, data pengawasan Sungai Linggi kelmarin menunjukkan sungai itu mengalami pencemaran kelas tiga.
“Berkaitan pencemaran sungai dari kawasan industri, setakat ini ia dalam kawalan JAS dan tiada pengeluaran (bahan kimia dari kilang) secara langsung kepada kes kematian ikan atau udang,” katanya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...