Komplot Jelawat Lombong

Share

Setelah beberapa kali tertangguh ekoran kesibukan jadual tugas dan jadual memancing masing-masing, akhirnya satu komplot atau aktiviti memancing secara beramai-ramai berjaya ditetapkan tarikhnya yang bertempat di Malim Nawar, Perak.

 

Berpandukan salah seorang ahli komplot yang pernah memancing di lombong tersebut, 5 buah kenderaan bergerak dari Lembah Klang secara berasingan diketuai oleh Mazlan. Jam 7 pagi kami semua bertemu di Kampung Gajah dan seterusnya ke lombong yang dipercayai terdapat banyak jelawat liar.

 

Sebuah bekas lombong awam berderetan dengan lombong-lombong lain yang giat diusahakan dengan kegiatan penternakan.. Namun 1/4 daripada keluasan lombong tersebut jelas kelihatan ribuan itik air menandakan ada ternakan diusahakan di lombong awam tersebut. Hanya ada satu akses untuk masuk memancing ke lombong tersebut namun terpaksa meninggalkan kenderaan hampir 100 meter jauhnya.

 

 

Kawasan untuk memancing juga tidak luas namun masih mampu menampung hampir 20 orang ahli komplot. Tanpa banyak membuang masa, Lan Lubuk segera bertindak membancuh umpan rasuah bagi memanggil ikan-ikan masuk ke radius pancingan. Sementara 2 orang ahli komplot menyediakan bot getahnya bagi tujuan memburu jelawat dengan teknik casting. Dan Atan Pok Ya pula menyediakan umpan khas untuk jelawat liar.

 

 

Terbukti menjerat ikan liar tidak semudah menggasak di kolam komersial. Masa berlalu dengan begitu saja. Berkilo-kilo dedak yang diadun dengan minyak belangkas A1 (kicap rohu) bagi memanggil jelawat, yang hadir cuma tilapia yang bermaharajalela di dalam lombong. Tidak kira teknik apung atau dasar, yang tercakup di mata kail adalah tilapia curut.

 

 

Hanya setelah 2 jam menanti dengan tekun dan sabar, barulah ada ikan lain yang masuk ke radius pancingan dan mengutip umpan. Walaupun target utama, seekor demi seekor rohu dan likoh terjerat pada mata kail. Saiznya juga tidak sekasar mana namun ia adalah tanda positif bahawa kawanan ikan-ikan di lombong sudah berjaya dirasuahkan.

 

Hasil penggunaan umpan jelawat yang diperturunkan oleh Atan Pok Ya, akhirnya Mac Ooi menjadi ahli komplot pertama menaikkan ikan sasaran. Disebabkan saiznya terlalu curut, jelawat selebar 2 jari dilepaskan kembali ke habitat asalnya. Selepas itu jelawat dinaikkan seperti cendol.

 

 

Namun, ia curut securut-curutnya.Hanya sesekali jelawat yang agak kasar berjaya didaratkan. Apabila kehadiran ikan semakin banyak memasuki radius pancingan sehinggakan mata boom 5 mata kail akan tersangkut lebih dari seekor ikan.

 

Sementara ahli komplot yang turun casting juga tidak menghampakan apabila berjaya juga menaikkan jelawat. Sekali gus membuktikan casting jelawat bukanlah pancingan sia-sia dan bukan juga sesuatu luar biasa.

 

 

Menghampiri jam 3 petang, sesi komplot terpaksa dihentikan ekoran cuaca yang tidak mengizinkan. Sebelum hujan turun sekali gus menyulitkan kenderaan untuk keluar dari kawasan lombong, walaupun ikan sedang rancak menyambut umpan, komplot terpaksa juga ditamatkan. Meskipun gagal menaikkan jelawat dengan saiz melebihi 1 kilogram, komplot tersebut bolehlah dianggap berjaya dan akan diatur kembali.

Published by
Amang