Peribahasa jangan menilai buku melalui sampulnya sangat menepati senario Kolam Pancing Seri Semabok yang terletak di Lebuh AMJ, Semabok, Melaka. Dengan saiz kolam yang kecil dan gelapnya air tanah gambut, maka tidak hairanlah Kolam Pancing Seri Semabok ini diberi jolokan ‘kolam puaka’. Walaupun pada mata kasar kolam ini kelihatan kecil, jangan sesekali beranggapan penghuni kolam turut sama kecil. Hanya setelah memancing barulah anda akan tahu bahawa penghuni-penghuni kolam bukanlah kecil anak. Malah jauh lebih bagak saiznya berbanding kolam-kolam lebih luas saiznya.
Setelah agak lama menjadi pelanggan setia kolam, pada tahun 2015 Mohd Haidzir Mohd Nordin atau lebih dikenali sebagai Papa Danish mengambil keputusan untuk menyewa kolam secara persendirian dari pemiliknya Adam Hussin. Selepas itu barulah kolam dinaiktaraf sedikit demi sedikit, diubah konsep dan penambahan stok ikan sebelum dibuka kepada publik sebagai kolam pancing komersial.
Informasi kolam
- Antara kolam pancing terkecil di negeri Melaka dan berdekatan dengan bandar. Turut dikenali di kalangan pemancing tetap sebagai ‘kolam puaka’ disebabkan tabiat makan ikan yang sentiasa berubah dan sensitif dengan perubahan waktu dan cuaca. Pemilihan jenis umpan dan perisa menjadi percaturan utama.
- Mengamalkan konsep tangkap, timbang dan lepas dengan bayaran balik duit ikan. RM 1 bagi setiap kilogram patin, RM 3 bagi setiap ekor rohu dan pacu. Manakala patin Chaophraya pula dibayar RM seekor.
- Terdapat kira-kira 4 tan ikan di dalam kolam dengan majoritinya patin dari saiz 1 kg hingga 14 kg. Pacu sehingga saiz 5 kg dan rohu terbesar seberat 6 kg.
- Menyediakan pakej memancing RM 25 untuk tempoh 4 jam. Selain menyediakan ranking harian dan bulanan, ia turut menawarkan bonus untuk tangkapan 14 kg ke atas. Dan beroperasi dari jam 4 petang hingga 12 malam setiap hari.
- Teknik dasar sahaja dibenarkan tanpa had panjang perambut, wajib penggunaan batu ladung dan dua mata kail sahaja.
- Antara umpan yang dibenarkan adalah palet biji, dedak hancur dan roti.
- Penggunaan pelampung kekal, mashmellow, umpan tiruan, umpan berasaskan organ haiwan, umpan hidup, bahan yang tidak halal dan mata rambai adalah tidak dibenarkan.
Tips untuk pacak
- 1. Umpan yang biasa digunakan adalah umpan tepung berperisa, roti, palett dan dedak. Bancuhan sedikit lembik, gumpalan umpan bersaiz kecil dan tenggelam menjadi pilihan.
- 2. Menggunakan perambut V, dua mata bersaiz 8-11 dengan panjang perambut 4-12 kaki.
- 3. Perisa umpan yang biasa digunakan adalah strawberi dan pandan.